Misha Omar wajar dicontohi - Utusan Malaysia

Misha Omar wajar dicontohi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kalau bercakap tentang artis yang rajin turun padang untuk mendekati peminat, nama penyanyi bersuara emas, Misha Omar, memang wajar diberikan pujian. Bukan sekadar aktif berkongsi perkembangan di media sosial, malah penyanyi ini juga begitu bersungguh-sungguh mempromosikan persembahan terbaharunya.

Cik Bunga perhatikan, Misha antara artis yang rajin membuat siaran langsung di media sosial. Ada sahaja masa terluang, penyanyi ini akan bersembang dengan peminat dan pengikutnya, berkongsi cerita serta meluangkan masa untuk berinteraksi secara santai.

Lebih menarik, setiap hari ada sahaja usaha Misha mempromosikan showcase eksklusifnya, Aku & Lelaki, yang bakal berlangsung pada 24 Oktober ini di JioSpace, Petaling Jaya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Wah, rajin sungguh Misha! Nampak benar kesungguhannya untuk memastikan peminat tidak terlepas peluang menyaksikan persembahan istimewa itu.

Cik Bunga bukan hendak memuji melambung, tetapi sikap seperti inilah yang memang patut dihargai. Walaupun Misha bukanlah individu yang mengendalikan pengurusan acara berkenaan, dia tetap mengambil inisiatif untuk membantu mempromosikan persembahannya sendiri.

Bukankah itu satu usaha yang baik? Sebagai penyanyi yang bakal menjayakan sesebuah persembahan, tidak salah untuk turun padang, menggunakan platform sendiri dan mendekati peminat bagi menyampaikan maklumat mengenai acara yang bakal berlangsung.

Dalam dunia hiburan hari ini, promosi bukan lagi terletak di bahu pihak penganjur semata-mata. Artis juga boleh memainkan peranan penting dengan memanfaatkan media sosial untuk membina keterujaan, menjawab pertanyaan peminat dan mengingatkan mereka tentang persembahan yang bakal diadakan.

Sebab itulah Cik Bunga rasa usaha Misha ini wajar dijadikan contoh. Tidak perlu malu atau berasa kekok untuk mempromosikan acara sendiri. Kalau diri sendiri pun menunjukkan semangat dan kesungguhan, sekurang-kurangnya peminat dapat melihat betapa seriusnya seseorang artis terhadap persembahan yang bakal dipersembahkan.

Cik Bunga pun tidak sabar mahu tonton persembahannya itu nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini