PUTRAJAYA: Tiada sebarang syarikat konsesi sawit dari Malaysia terbabit dalam aktiviti pembakaran yang mencetuskan situasi jerebu di Indonesia dan beberapa negara lain ketika ini.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad memaklumkan perkara itu telah disahkan menerusi semak silang industri dengan syarikat Malaysia yang mempunyai konsesi sawit di Indonesia.
“Semak silang dengan syarikat Malaysia yang mempunyai konsesi sawit menunjukkan aktiviti pembakaran itu berlaku di luar konsesi sawit milik syarikat Malaysia.
“Jemaah Menteri telah dimaklumkan bahawa terutamanya di Kalimantan, secara umum lebih 101 hari tiada hujan, kalau ada pun tidak terlalu banyak.
“Dan terdapat juga satu ladang syarikat Malaysia iaitu Genting Plantations yang telah menyaksikan bukan pembakaran dari dalam tapi api telah mara dari luar, namun telah dipadamkan. Dan saiz ladang itu (terjejas) adalah 5 hektar,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Jemaah Menteri di sini, hari ini.
Katanya, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan terus melakukan sesi libat urus khas dengan syarikat-syarikat peladangan Malaysia yang mempunyai operasi di Indonesia.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) juga akan menyelaraskan tindakan menangani isu jerebu, termasuk berkaitan pembukaan sekolah dan aktiviti pembelajaran.
Menurutnya, perkara lain termasuk
keperluan penyelarasan lebih menyeluruh dalam menangani kesan jerebu yang turut membabitkan aktiviti sukan di luar bangunan.
“KPM, KKM serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah memaklumkan Jemaah Menteri mengenai keperluan berkenaan.
“Penyelarasan itu meliputi tindakan berkaitan aktiviti sukan luar bangunan serta perkara yang melibatkan pembukaan sekolah dan tempat-tempat pembelajaran.
“Dalam pada itu, KPM dan KKM memaklumkan bahawa garis panduan yang digunakan ketika ini adalah berlandaskan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan yang sedang berkuat kuasa,” katanya. – UTUSAN











