Isteri pencari nafkah utama keluarga

Isteri pencari nafkah utama keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Setiap rumah tangga mempunyai kisah dan ujian tersendiri.

Ada isteri yang bertuah kerana memiliki suami yang bersama-sama memikul tanggungjawab dan amanah.

Namun, ada juga yang diuji dengan pasangan tanpa rasa bersalah melepaskan tanggungjawab ke bahunya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Demikian juga dengan kisah yang dikongsi minggu ini.

Kisah pengorbanan Saleha (bukan nama sebenar) yang terpaksa menjadi kuat kerana segala tanggungjawab diletakkan di bahunya seorang diri.

Dia bukan sahaja menjadi isteri dan ibu, tetapi tulang belakang keluarga.

Sejak awal perkahwinan dialah pencari nafkah utama keluarga.

Hari berganti minggu, beralih bulan dan seterusnya memasuki tahun.

Anak-anak semakin membesar, tetapi keadaan tetap sama.

Sikap lelaki yang bergelar suami dan bapa tidak pernah berubah.

Kisahnya dikongsikan oleh adik perempuannya, Icha (bukan nama sebenar) dalam kiriman e-mel baru-baru ini.

Icha dia tidak berniat untuk membuka aib rumah tangga kakaknya, sebaliknya, ia dikongsikan sebagai renungan tentang amanah dalam perkahwinan, tanggungjawab seorang suami dan bapa.

“Sebagai adik, tentulah saya mahu kakak menjalani kehidupan yang baik dan bahagia.

“Namun apa yang dilihat sepanjang tempohnya berumah tangga, jauh berbeza dengan harapannya selama ini,” tulisnya.

Icha turut melahirkan kebimbangan melihat kehidupan kakaknya yang seolah-olah tidak pernah menemui penghujung.

Dia melihat sendiri bagaimana kakaknya itu mengharungi tahun demi tahun kehidupan berumah tangga dengan segala pengorbanan dan air mata.

Hatinya tersentuh melihat kakaknya terpaksa bekerja demi menampung keperluan keluarga.

Malah anak perempuan sulung kakaknya, Mimi (bukan nama sebenar) turut dipaksa bekerja bagi membantu meringankan beban keluarga.

Tulis Icha lagi, sepanjang tempoh kakaknya bergelut dengan kesusahan hidup, bukan dia tidak pernah menasihati, namun wanita itu tetap memilih untuk meneruskan kehidupan tersebut.

“Sejujurnya, saya tidak mengetahui sepenuhnya apa yang tersimpan dalam hati kakak.

“Walaupun dia kekal dengan pendiriannya, saya tidak pernah berputus asa untuk terus membuka matanya tentang perkara ini.

“Saya bimbangkan kesihatannya, masa depan anak saudara dan keluarga mereka pada hari-hari mendatang,’’ tulisnya.

Dalam e-mel itu juga, Icha menyatakan dia tidak pasti sejauh mana hubungan pasangan suami isteri.

Mungkin ada kasih sayang yang tidak mampu dijelaskan.

Mungkin ada harapan yang diletakkan kakak yang suaminya akan berubah satu hari nanti.

“Atau mungkin, kakak sudah terlalu lama menjalani kehidupan sebegitu sehingga tidak tahu bagaimana hendak memulakan kehidupan tanpa lelaki bergelar suami dan bapa,” katanya.

Sebagai adik, Icha tertanya-tanya mengapa kakaknya masih bertahan dan memilih Munir (bukan nama sebenar).

Menyingkap kisah cinta pasangan itu, tulis Icha, pertemuan kakaknya dengan lelaki itu bermula sebagai kenalan biasa.

Hubungan itu semakin rapat sehingga akhirnya membawa ke alam perkahwinan.

Tidak pernah terlintas di fikirannya, perkahwinan kakaknya melalui perjalanan yang begitu panjang dan penuh pengorbanan.

Seperti kebanyakan wanita lain, kakaknya menanam impian dan harapan besar untuk membina sebuah rumah tangga bahagia.

“Bukan kemewahan yang kakak harapkan, cukup baginya seorang suami yang rajin berusaha, bertanggungjawab dan mengambil berat kebajikan keluarga.

“Namun semakin lama usia perkahwinan kakak, semakin jelas sikap sebenar Munir.

“Abang ipar tidak pernah bersungguh-sungguh dalam mencari rezeki dan sering mengambil mudah tentang tanggungjawab dan keperluan rumah tangga,” katanya.

Apabila wang belanja semakin berkurangan, Munir tidak berasa terdesak untuk mencari jalan keluar.

Sebaliknya, hanya membiarkan kakak sendirian memikirkan segala-galanya.

Daripada urusan sewa rumah, kenderaan, bil utiliti sehinggalah keperluan sekolah anak-anak.

Rutin harian kakaknya bermula seawal 5 pagi dengan menyediakan keperluan rumah, menguruskan anak-anak kemudian bergegas ke tempat kerja.

Pulang sahaja ke rumah, tugas kakaknya tidak terhenti.

Masih perlu memasak, mengemas dan memastikan keperluan mencukupi.

Sedangkan, Munir hanya duduk sahaja di rumah menghabiskan masa tanpa melakukan apa-apa.

Lelaki yang sepatutnya memikul tanggungjawab sebagai suami dan bapa itu tidak menunjukkan usaha untuk berubah.

Paling menyedihkan Icha ialah kini Mimi pula melalui nasib sama.

Pada usia yang sepatutnya diberi peluang untuk belajar dan mengejar cita-cita, sebaliknya diarahkan oleh bapa untuk bekerja.

Dalam emel itu, Icha sedar keputusan untuk meneruskan atau mengubah kehidupan rumah tangga itu bukanlah boleh dibuat bagi pihak kakaknya.

“Saya tetap mendoakan yang terbaik buat kakak dan anak-anak saudara.

“Semoga satu hari nanti kakak diberikan kekuatan untuk menilai semula kehidupannya dengan lebih jelas dan suaminya terbuka untuk berubah,” tulisnya.

Sesungguhnya dalam Islam meletakkan tanggungjawab yang besar kepada seorang lelaki dalam urusan keluarganya.

Sebagaimana firman Allah SWT, “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pelindung bagi kaum perempuan, kerana Allah telah melebihkan sebahagian daripada mereka atas sebahagian yang lain (lelaki atas perempuan), dan kerana kaum lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian harta mereka,’’ (Surah An-Nisa: 34).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini