AKSI mengangkat penumbuk, melaungkan slogan dan berdepan anggota polis menjadikan Neha Bora antara wajah yang mendapat perhatian dalam demonstrasi anak muda di India.
Pelajar doktor falsafah (PhD) berusia 29 tahun itu merupakan penggiat teater dan aktivis yang sudah sedekad bersama All India Students Association (AISA), sebuah pertubuhan berhaluan kiri yang terkenal dengan penglibatan dalam politik kampus.
Dia memegang jawatan presiden pertubuhan itu sejak dua tahun lalu, namun pengaruhnya kini tidak lagi terbatas dalam lingkungan universiti.
Rakaman video yang tersebar sejak minggu lalu menunjukkan Neha diheret di jalan raya oleh sekumpulan anggota keselamatan wanita sebelum memanjat penghadang polis sambil menggenggam penumbuk dan melaungkan slogan.
Dia kemudian ditahan pihak berkuasa, manakala gambar yang memaparkan dirinya tersenyum ketika diusung oleh polis turut tular di media sosial.

Perhatian terhadap Neha berterusan apabila penunjuk perasaan yang diterajui golongan generasi Z (gen Z) kembali berhimpun di New Delhi hujung minggu ini bagi menuntut peletakan jawatan pegawai tertinggi pilihan raya India.
Aktivis politik ini turut mempunyai latar belakang dalam bidang seni persembahan sebagai penggiat teater.
Dalam temubual bersama BBC Bangla baru-baru ini, Neha tidak menganggap perhatian yang diterima itu sebagai sesuatu yang luar biasa.
Katanya, tindakannya mungkin kelihatan berbeza kerana dirakam kamera, sedangkan aktivis pelajar berhaluan kiri lain turut melakukan perkara sama ketika menyertai demonstrasi.
“Saya pernah melihat semua aktivis pelajar berhaluan kiri melakukan perkara sama.
“Cuma, kali ini kamera tertumpu kepada saya, menyebabkan orang ramai menganggap sesuatu yang berbeza sedang berlaku,” katanya.
Demonstrasi profil tinggi
Perhatian terhadap Neha hadir ketika beberapa demonstrasi berprofil tinggi berlangsung di jalanan India, yang disifatkan sebagai antara cabaran terbesar sepanjang 12 tahun pemerintahan Perdana Menteri, Narendra Modi.
Antara gerakan yang mencuri perhatian ialah Cockroach Janta Party (CJP), sebuah gerakan satira dalam talian yang diterajui golongan gen Z dan mengadakan demonstrasi selama beberapa minggu di New Delhi pada musim panas lalu bagi membantah reformasi pendidikan.
Demonstrasi itu berakhir pada Julai selepas Menteri Pendidikan, Dharmendra Pradhan, meletakkan jawatan.
Secara berasingan, beberapa parti pembangkang India, khususnya Kongres, turut mengadakan demonstrasi jalanan bagi membantah reformasi pilihan raya.
Sejak beberapa hari lalu, video pemimpin Kongres, Rahul Gandhi dan Priyanka Gandhi Vadra, ditolak, diasak serta ditahan pihak berkuasa turut tular dan menjadi tajuk utama media di India.

Demonstrasi di New Delhi pada Sabtu ini dianjurkan oleh CJP yang menuntut peletakan jawatan Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya India, Gyanesh Kumar, susulan dakwaan manipulasi daftar pemilih
bagi memihak kepada parti pemerintah, Bharatiya Janata Party (BJP) pimpinan Modi.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya dan BJP menolak dakwaan berkenaan.
Walaupun bukan anggota CJP, Neha berkata, kumpulannya turut menyertai demonstrasi itu.
Dilahirkan di negeri Uttarakhand, utara India, dia membesar di beberapa bandar berbeza ketika bapanya yang merupakan pegawai tentera sering berpindah tempat bertugas.
Selepas menamatkan pengajian di Universiti Delhi, dia melanjutkan pengajian peringkat sarjana di Universiti Ambedkar di ibu negara sebelum menyambung pengajian PhD di Universiti Jawaharlal Nehru (JNU), sebuah institusi pengajian tinggi terkemuka di India.
Neha mula mendapat perhatian ramai pada musim panas lalu ketika menyertai demonstrasi CJP bagi membantah reformasi pendidikan.
Selepas demonstrasi pada Julai berakhir, Neha semakin menonjol sebagai pemimpin gen Z apabila mula mendapat perhatian CJP dan media, selain tampil bersama Rahul Gandhi dalam sidang media.











