Media sosial tidak mengubat sunyi

Media sosial tidak mengubat sunyi

KESUNYIAN tidak dapat diisi dengan jumlah pengikut atau tanda suka, sebaliknya melalui hubungan yang bermakna dengan manusia serta kedekatan kepada Allah SWT.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KITA hidup dalam zaman yang penuh paradoks. Telefon sentiasa berbunyi, notifikasi tidak pernah berhenti dan jumlah pengikut boleh mencecah ribuan, malah jutaan.

Namun, di sebalik kemeriahan dunia maya, semakin ramai manusia berasa sunyi. Ada yang kelihatan ceria di hadapan kamera tetapi menangis selepas skrin dimatikan.

Ada pula yang menerima ratusan komen, namun tiada tempat untuk meluahkan isi hati ketika dilanda kesedihan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Media sosial memudahkan manusia berhubung tetapi hubungan digital tidak semestinya menghadirkan kedekatan emosi. Keadaan menjadi lebih rumit apabila jumlah tanda suka, komen dan pengikut dijadikan ukuran harga diri.

Kita mula membandingkan kehidupan sendiri dengan paparan orang lain yang lazimnya hanya menunjukkan kejayaan, kebahagiaan dan sisi terbaik kehidupan. Akhirnya, timbul tanggapan semua orang sedang menikmati hidup kecuali diri sendiri.

Ramai mungkin mengenali nama, pekerjaan atau pencapaian kita tetapi belum tentu mengetahui perjuangan dan luka yang disimpan. Sebab itu seseorang boleh popular di alam maya tetapi kesunyian dalam kehidupan sebenar.

Nilai diri juga menjadi rapuh apabila terlalu bergantung pada pandangan manusia. Pujian membuatkan kita gembira, manakala kritikan mudah menggugat keyakinan.

Islam mengingatkan manusia tidak pernah benar-benar bersendirian. Allah SWT mengetahui segala bisikan hati dan keadaan hamba-Nya, sebagaimana dinyatakan dalam Surah Qaf, ayat 16. Ketika manusia tidak memahami kesedihan kita, Allah tetap mengetahui apa yang tersimpan.

Pada masa sama, kita perlu lebih peka terhadap keadaan orang di sekeliling. Jangan hanya bertanya mengapa seseorang tidak lagi aktif di media sosial. Tanyakan khabar dan berikan ruang untuk mereka bercerita tanpa menghakimi. Kehadiran yang ikhlas kadangkala lebih bermakna daripada nasihat yang panjang.

Kita juga perlu menghidupkan semula hubungan di dunia nyata. Letakkan telefon seketika, berbual dengan keluarga, hubungi sahabat dan luangkan masa bersama tanpa gangguan skrin.

Teknologi sepatutnya mendekatkan manusia, bukan menghilangkan keupayaan untuk hadir bersama mereka yang berada di depan mata.

Lebih penting, dekatkan diri kepada Allah SWT. Ketika semua perhatian manusia hilang, hubungan dengan-Nya tetap menjadi tempat kembali.

Nilai seseorang tidak ditentukan oleh jumlah pengikut atau tanda suka tetapi oleh akhlak, amal dan manfaat yang diberikan.

Kita tidak perlu mengejar ramai pengikut untuk membuktikan nilai diri kerana yang lebih penting ialah hidup yang bermakna di sisi Allah SWT. -UTUSAN

DR. MOHD. AFIFUDDIN MOHAMAD
Universiti Sains Malaysia (USM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini