Kerja hibrid perlukan kepercayaan

Kerja hibrid perlukan kepercayaan

KERJA hibrid memerlukan kepercayaan, disiplin dan tanggungjawab dengan prestasi dinilai berdasarkan hasil kerja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DASAR Hari Bekerja Hibrid yang berkuat kuasa 1 Ogos, lalu membolehkan penjawat awam yang layak bekerja tiga hari di pejabat dan dua hari dari rumah atau lokasi alternatif. Namun, perubahan ini turut mencetuskan persoalan lama, iaitu adakah seseorang benar-benar bekerja jika tidak berada di hadapan ketua?

Aon Malaysia menerusi Pulse Survey Report 2025 mendapati majoriti organisasi yang disurvei melaksanakan aturan kerja fleksibel, manakala lebih separuh menggunakan model hibrid.

Justeru, cabaran sebenar bukan lagi menentukan sama ada model ini wajar dilaksanakan tetapi bagaimana ia diurus dengan berkesan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Produktiviti tidak seharusnya diukur melalui tempoh seseorang berada di meja. Pekerja yang menghabiskan lapan jam di pejabat belum tentu menghasilkan keputusan terbaik, sebagaimana individu bekerja dari rumah tidak semestinya kurang produktif. Dalam pekerjaan berasaskan pengetahuan, nilai lebih banyak ditentukan oleh kualiti keputusan, penyelesaian masalah, kemahiran dan hasil dicapai.

Namun, fleksibiliti tanpa tanggungjawab juga boleh disalahgunakan. Integriti bermaksud melaksanakan amanah walaupun tiada pengawasan fizikal.

Pekerja perlu mematuhi tempoh ditetapkan, mencapai piawaian kerja serta memberi maklum balas apabila diperlukan.

Pada masa sama, pengurusan perlu memainkan peranan yang sama. Fleksibiliti tidak boleh menjadi alasan untuk menghubungi kakitangan tanpa batas atau menjadikan rumah sebagai sambungan pejabat sepanjang hari. Kepercayaan mesti berjalan seiring dengan akauntabiliti.

Kerja hibrid juga tidak sesuai dilaksanakan secara seragam. Tugasan yang memerlukan tumpuan mungkin lebih sesuai dilakukan dari rumah, manakala bimbingan, percambahan idea dan perbincangan kompleks lebih berkesan secara bersemuka.

Bagi pekerja baharu pula, kehadiran fizikal yang lebih kerap boleh membantu mereka membina kemahiran dan jaringan profesional.

Oleh itu, organisasi perlu mengubah cara menilai prestasi. Fokus hendaklah diberikan kepada hasil, kualiti kerja, penyelesaian masalah dan nilai yang dihasilkan, bukannya status aktif, jumlah mesej atau tempoh berada di pejabat.

Kerja hibrid bukan soal rumah atau pejabat. Yang lebih penting ialah membina budaya kerja yang menggabungkan kebebasan dengan tanggungjawab.

Integriti tidak diukur melalui tempat seseorang bekerja tetapi melalui amanah yang ditunaikan dan hasil yang dihasilkan. –UTUSAN

NURUL NISHA MOHD. SHAH dan MOHD. RADZMAN BASINON
Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Sixtysix Action Academy

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini