RIYADH: Kumpulan Houthi di Yaman berikrar meneruskan serangan terhadap kemudahan petrokimia dan lapangan terbang di Arab Saudi dalam beberapa hari akan datang ketika ketegangan dengan Riyadh semakin memuncak.
Kumpulan berkenaan juga akan terus menyerang bangunan milik Saudi Aramco, syarikat minyak milik kerajaan yang menjadi tunjang ekonomi Arab Saudi.
Houthi pada Rabu lalu, turut mendakwa menyerang kemudahan Aramco di Dhahran, Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid dan sebuah kilang penapisan minyak syarikat itu di Riyadh.
“Operasi itu dilaksanakan menggunakan sejumlah besar peluru berpandu balistik, peluru berpandu kruis dan dron,” kata jurucakap tentera kumpulan itu, Yahya Saree.
Ibu negara Arab Saudi berdepan serangan harian luar biasa daripada Houthi sejak lebih seminggu lalu, dengan serangan terhadap lapangan terbang pada Sabtu dan Ahad mengorbankan 14 orang dan mencederakan ratusan lagi.
Yahya turut menggesa syarikat perkapalan antarabangsa, orang awam dan pekerja di lapangan terbang serta syarikat yang menjadi sasaran supaya menjauhi lokasi berkenaan selain segera berpindah, mendakwa kawasan itu kini menjadi sasaran yang sah.
Sebagai tindak balas, Riyadh melancarkan serangan ke atas ibu negara Yaman, Sanaa dan wilayah Taiz, Lahj, Marib, Amran serta Pulau Mayun.
Reuters melaporkan Arab Saudi merancang menganjurkan acara utama Inisiatif Pelaburan Masa Depan secara hibrid susulan serangan berkenaan, sekali gus membolehkan eksekutif menyertainya dari jarak jauh.
Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva berkata, serangan terhadap Arab Saudi bakal memberi kesan kepada penduduk di seluruh dunia melalui kenaikan kos tenaga.
“Ekonomi Arab Saudi penting bagi rantau ini dan dunia. Oleh itu, perkembangan ini berpotensi memberikan kesan negatif kepada semua pihak, di mana-mana sahaja,” katanya pada sidang media sempena mesyuarat tahunan IMF dan Bank Dunia di Bangkok.
Sebelum ini, anggota Biro Politik Houthi, Mohammed Al-Bukhaiti berkata, kempen serangan terhadap sasaran di Arab Saudi bertujuan menyampaikan mesej kepada putera mahkota negara itu, Putera Mohammad bin Salman bahawa beliau tidak lagi boleh melancarkan serangan terhadap Yaman dari kedudukan yang selamat.
Dalam perkembangan berasingan, seorang pegawai Yaman mendedahkan usaha pengantaraan sedang dijalankan bagi membolehkan bandar Taiz diserahkan kepada penduduk tempatan untuk ditadbir tanpa pertempuran.
Arif al-Ameri memberitahu Al Mayadeen pada Rabu bahawa angkatan bersenjata meneruskan usaha untuk membebaskan wilayah daripada tentera upahan dan pasukan penceroboh.
Beliau menjelaskan bahawa pendekatan yang digunakan adalah dengan membebaskan sesuatu kawasan, menyerahkan pentadbirannya kepada penduduk tempatan, sebelum meneruskan operasi ke kawasan seterusnya.
Riyadh mengetuai pakatan antarabangsa yang menyokong kerajaan Yaman dari segi ketenteraan sejak 2015.
Arab Saudi juga mengawal ruang udara negara bergolak itu dan lapangan terbang di ibu negara Sanaa yang dikuasai Houthi.











