Penduduk hilang sabar jerebu berterusan di Indonesia - Utusan Malaysia

Penduduk hilang sabar jerebu berterusan di Indonesia

LANGIT bertukar oren akibat kebakaran hutan di Palangkaraya, Kalimantan kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Penduduk di wilayah Kalimantan Barat, Indonesia hilang sabar kerana terpaksa berdepan kebakaran hutan sehingga mengeluarkan jerebu beracun yang menyebabkan penyakit, memaksa sekolah ditutup dan menjejaskan kegiatan ekonomi.

Selama beberapa minggu, masyarakat di Kalimantan Barat bertungkus-lumus memadamkan kebakaran sehingga memusnahkan kawasan tanah yang luas dan mencemarkan udara sehingga ke Malaysia dan Singapura.

Kerajaan mengerahkan anggota bomba dengan bantuan sukarelawan ke kawasan terjejas, selain melaksanakan pembenihan awan dan operasi pengeboman air tetapi usaha itu hanya membuahkan hasil yang terhad.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang penduduk, Sisilius Rami berkata kepada AFP berkata, jerebu menjejaskan setiap aspek kehidupan seharian, termasuk mengganggu persekolahan dan aktiviti luar, antaranya kegiatan pertanian. 

“Kanak-kanak berhak mendapat pendidikan. Masyarakat berhak menjalani kehidupan yang sihat. Kerajaan sepatutnya hadir untuk menjamin hak itu, bukannya membiarkan rakyat menanggung kesannya sendiri.

“Kerajaan mempunyai sumber dan kemudahan yang jauh lebih mencukupi berbanding masyarakat. Namun, di lapangan, penduduk yang berjuang dengan kemampuan terhad,” katanya di kediamannya di Pontianak, bandar yang diselubungi jerebu.

Lelaki berusia 29 tahun itu  merupakan seorang daripada empat plaintif dalam kes saman tindakan berkelompok terhadap Presiden Prabowo Subanto dengan mendakwa kerajaan melakukan kecuaian, pengabai­an dan kegagalan sehingga mengakibatkan krisis kesihatan awam yang besar di wilayah di Pulau Borneo itu. 

Saman itu turut menyasarkan 26 pegawai daripada kerajaan pusat, wilayah dan tempatan, selain pihak polis serta perkhidmatan kecemasan.

Prosiding mahkamah sete­rus­nya dijadualkan berlangsung pada 21 Oktober.

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan masyarakat pe­ribumi dikenali sebagai AMAN yang turut menjadi plaintif berkata, terlalu banyak tanggungjawab memadamkan kebakaran di­letakkan di bahu penduduk yang hanya mempunyai peralatan terhad, termasuk hos air untuk menyiram taman dan pelitup muka pembedahan.

“Jika kerajaan benar-benar serius mahu memadamkan kebakaran, jerebu pasti sudah tiada lagi,” kata wakil AMAN, Tono, yang seperti kebanyakan rakyat Indonesia hanya menggunakan satu nama. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini