WARSAW: Poland mempertimbangkan untuk mengembalikan khidmat ketenteraan wajib bagi memperkukuh angkatan tenteranya susulan peningkatan ancaman dari Russia, termasuk cadangan mewajibkan penyertaan lelaki dan wanita.
Menurut laporan Bloomberg, Timbalan Menteri Pertahanan Poland, Magdalena Sobkowiak-Czarnecka memaklumkan kementerian berkenaan sedang meneliti beberapa model perkhidmatan ketenteraan.
Beliau menyokong pelaksanaan khidmat ketenteraan wajib bagi lelaki dan wanita. Namun, beliau berpendapat tempoh peralihan perlu diberikan terlebih dahulu dengan mengekalkan penyertaan secara sukarela.
Kementerian Pertahanan dijangka mengumumkan keputusannya dalam tempoh terdekat. Bagaimanapun, Sobkowiak-Czarnecka tidak menyatakan bila keputusan itu akan dibuat.
Isu meningkatkan jumlah angkatan tentera dan melatih anggota simpanan semakin mendapat perhatian di seluruh Eropah sejak Russia melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine.
Perkara itu semakin mendesak terutama bagi negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di bahagian timur, termasuk Poland yang berdepan pencerobohan dron dan cubaan melakukan sabotaj dengan pihak berkuasa menyalahkan Russia atas kejadian berkenaan.
Selepas perang besar-besaran di Ukraine bermula, kerajaan Poland pimpinan Donald Tusk memperluas program latihan ketenteraan secara sukarela.
Bagaimanapun, cadangan terdahulu untuk memperkenalkan latihan ketenteraan wajib kepada semua orang awam tidak pernah dilaksanakan.
Angkatan tentera Poland kini mempunyai lebih 220,000 anggota, termasuk askar profesional dan Pasukan Pertahanan Wilayah yang kebanyakannya menjalani perkhidmatan ketenteraan sambil bekerja atau melanjutkan pelajaran.
Pada awal Oktober, Menteri Pertahanan, Władysław Kosiniak-Kamysz berkata, Poland merancang meningkatkan jumlah anggota tenteranya kepada 300,000 orang dan menubuhkan pasukan simpanan seramai 200,000 anggota.
Poland menggantung pelaksanaan khidmat ketenteraan wajib pada 2009. Cadangan untuk mengembalikannya kini menjadi perdebatan politik menjelang pilihan raya Parlimen tahun depan, dengan beberapa ahli politik pembangkang berhaluan kanan mendesak supaya dasar itu diperkenalkan semula.
Namun, cadangan mengembalikan khidmat ketenteraan wajib itu menerima reaksi berbeza dalam kalangan rakyat Poland.
Menurut tinjauan Opinia24 yang dijalankan untuk RMF FM dan diterbitkan pada Rabu, sebanyak 48 peratus rakyat Poland menyokong pengembalian khidmat ketenteraan wajib, manakala 38 peratus mahu mengekalkan sistem yang bergantung sepenuhnya kepada tentera profesional.
Penentangan terhadap cadangan itu paling ketara dalam kalangan golongan muda, dengan 53 peratus responden muda menolak pengenalan semula khidmat ketenteraan wajib.











