BN dijangka dominasi PRN Melaka, PH pertahan kawasan bandar

BN dijangka dominasi PRN Melaka, PH pertahan kawasan bandar

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) dijangka mendominasi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana kekuatan parti itu di kawasan majoriti Melayu, terutama di luar bandar.

Penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali berkata, 21 kerusi yang dimenangi BN pada PRN 2021 berkemungkinan besar dapat dipertahankan, malah kedudukan parti itu bakal lebih kukuh sekiranya kerjasama dengan Pas dapat direalisasikan.

“Naratif Melayu Islam akan menjadi kuat dan ini membolehkan BN mendominasi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sebanyak 24 hingga 25 kerusi adalah majoriti Melayu, manakala lima kerusi majoriti Cina dan selebihnya kawasan campuran.

“Komposisi ini memberi kelebihan kepada gabungan BN-Pas, khususnya di kawasan luar bandar dan perkampungan termasuk beberapa kawasan Felda.

“Sebaliknya, Pakatan Harapan (PH) dijangka mengekalkan pengaruh di kawasan bandar dan campuran.

“Tetapi, jika bertanding secara solo, parti itu mampu memenangi sekitar lima hingga tujuh kerusi,” katanya.

Mazlan berkata, beberapa kerusi dijangka menyaksikan persaingan sengit kerana mencatatkan margin majoriti kecil, antaranya Bemban, Pengkalan Batu, Gadek dan Bukit Katil.

“Di kawasan ini, peluang kedua-dua parti adalah 50-50,” katanya.

Beliau berkata, kawasan luar bandar secara umumnya dikuasai BN, manakala kawasan bandar didominasi PH.

Mengenai kecenderungan pengundi, beliau berkata, pilihan mereka bergantung pada jenis kawasan.

Jelasnya, pengundi di bandar, separa bandar dan kawasan campuran lebih menilai prestasi parti serta calon, termasuk sumbangan dan kemajuan yang mampu dibawa.

“Mereka akan melihat Penunjuk Prestasi Utama (KPI) calon. Namun, di luar bandar, sentimen agama dan kaum serta naratif berkaitan lebih mendominasi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, isu tempatan seperti pembangunan ekonomi, banjir dan pelancongan dijangka dimainkan dalam kempen akan datang.

Katanya, isu kestabilan kerajaan negeri dan dinamik pakatan politik juga akan digunakan, termasuk dengan mengaitkan ketidakstabilan di Negeri Sembilan dengan sikap parti tertentu.

“Antaranya isu integriti yang membabitkan BN, krisis politik di Negeri Sembilan, Tabung Haji serta kerugian Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang dijangka akan dibahas.

“Pada masa sama, isu peringkat nasional turut berkemungkinan dibangkitkan.

“Selain itu, sentimen Melayu dan Islam turut dijangka diangkat oleh parti berteraskan Melayu Islam,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini