Rehda Perak kaji punca lebih 4,000 rumah tidak terjual - Utusan Malaysia

Rehda Perak kaji punca lebih 4,000 rumah tidak terjual

SANDREA Ng Shy Ching (dua dari kanan) meninjau pameran perumahan pada Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2026 di Aeon Mall Kinta City di Ipoh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Perak diminta menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti punca lambakan rumah tidak terjual di negeri ini dan merangka strategi menanganinya.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, sebanyak 4,075 unit rumah tidak terjual direkodkan di Perak setakat Jun lalu, dengan daerah Kinta, Sitiawan dan Hilir Perak mencatatkan jumlah tertinggi.

“Dalam mesyuarat Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP), kita beri tugas kepada Rehda Perak untuk menjalankan kajian kerana Rehda Institute turut mengkaji beberapa isu perumahan termasuk unit yang tidak terjual.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita berharap dengan kajian yang dibuat oleh Rehda Institute, ditambah dengan kajian yang memperincikan keadaan di Perak, dapat membantu kita mengenal pasti cadangan dan strategi yang boleh dilaksanakan bagi menangani isu unit rumah yang tidak terjual,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX) 2026 di Aeon Mall Kinta City, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Rehda Perak, Ir. Loh Ban Ho.

Mengulas lanjut Sandrea berkata, kajian itu penting bagi memastikan perancangan dan kelulusan pembangunan perumahan di negeri ini pada masa hadapan mengambil kira punca lambakan rumah tidak terjual.

Katanya, kajian itu juga bertujuan mengenal pasti punca masalah berkenaan bagi mengelakkan isu sama berulang dalam perancangan pembangunan akan datang khususnya di kawasan tertentu.

“Kita mahu lihat punca supaya dalam perancangan termasuk kelulusan bagi kerajaan negeri dan jabatan teknikal pada masa akan datang, tidak mengulangi perkara sama.

“Melalui kajian itu juga, kita berharap dapat mengenal pasti cadangan yang boleh membantu menangani masalah berkenaan kerana keadaan ini menyebabkan pembaziran unit kediaman, sedangkan masih ada orang awam yang belum memiliki rumah.

“Jadi, kita perlu mencari kaedah untuk memadankan unit rumah yang tersedia dengan keperluan pembeli,” katanya.

Dalam pada itu mengulas mengenai Insentif pengecualian duti setem bagi pembelian rumah pertama menerusi Belanjawan 2027, Sandrea berkata, langkah itu dapat membantu menangani isu rumah tidak terjual di negeri ini.

Malah katanya, langkah yang dicadangkan Kerajaan Persekutuan itu juga berpotensi menggalakkan transaksi hartanah, khususnya bagi unit kediaman yang masih belum terjual selepas dilancarkan.

“Apabila Kerajaan Persekutuan mencadangkan pengecualian duti setem, kita melihatnya sebagai satu langkah yang boleh memberikan lebih banyak insentif dalam urusan jual beli hartanah.

“Kita berharap ia dapat memberi dorongan kepada pembeli, termasuk membantu menangani isu unit yang tidak dapat dijual selepas pelancaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini