PETALING JAYA: Polis menahan tiga individu termasuk aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak bagi membantu siasatan kejadian memecahkan patung di sebuah kuil berhampiran Lebuhraya Baru Pantai (NPE) di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, kesemua suspek ditahan di Beranang kira-kira pukul 11 pagi susulan dua laporan polis yang diterima berhubung kejadian.
Katanya, laporan menyatakan empat patung di kawasan kuil telah dipecahkan.
“Kejadian itu menyebabkan kerosakan terhadap empat patung berkenaan dan jumlah kerugian masih dalam penilaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kesemua suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis pada Selasa lalu.
“Kertas siasatan itu akan dirujuk kepada Pejabat Pendakwaan Negeri dan siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian serta motif perbuatan tersebut,” ujarnya.
Fadil berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan iaitu membencana atau mencemarkan tempat sembahyang dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan.
Difahamkan, empat patung berkenaan sebelum ini masih dalam perbincangan antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pejabat tanah dan polis berhubung urusan pemindahannya.
Pada 8 Oktober lalu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri R. Ramanan menggesa polis menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berhubung kejadian berkenaan bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan. – UTUSAN











