PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang gagal mara ke separuh akhir acara keirin lelaki pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2026 di Shanghai, China selepas menamatkan saingan suku akhir di tempat keenam, hari ini.
Bekas juara dunia 2017 itu gagal mengulangi aksi cemerlang dalam pusingan pertama apabila sekadar menamatkan saringan suku akhir ketiga di belakang lima pelumba lain, sekali gus menamatkan cabarannya dalam acara berkenaan.
Azizulhasni sebelum itu menghidupkan harapan untuk mara lebih jauh apabila meraih tempat kedua dalam saringan pertama, hanya 0.006 saat (s) di belakang pelumba Jepun, Kaiya Ota, untuk mengesahkan tiket ke suku akhir.
Namun, kegagalan itu menyaksikan sandaran utama negara dalam acara keirin terpaksa melupakan hasrat memburu kejayaan di Shanghai, sekali gus menambah tekanan kepada kem negara yang masih mencari keputusan positif.
Kekecewaan Azizulhasni melanjutkan episod hambar skuad negara selepas kedua-dua pasukan pecut berpasukan lelaki dan wanita gagal melayakkan diri ke pusingan seterusnya dalam saingan kelayakan, semalam.
Azizulhasni masih berpeluang menebus kekecewaan apabila dijadual beraksi dalam acara pecut individu lelaki pada Sabtu, dengan jaguh negara itu diharap mampu bangkit bagi menghidupkan semula cabaran Malaysia di pentas dunia.
Dalam acara pecut individu wanita, Nur Alyssa Mohd Farid terkandas di pusingan 1/16 akhir selepas tewas kepada wakil Britain, Rhianna Parris-Smith manakala Nurul Izzah Izzati Mohd Asri turut tersingkir selepas tewas kepada pelumba Australia, Molly McGill.
Nur Alyssa sebelum itu mencatat masa 10.788 saat dalam kelayakan 200 meter untuk menduduki tempat ke-23, sementara Nurul Izzah turut melepasi kelayakan sebelum kedua-duanya gagal melangkah ke pusingan 1/8 akhir.











