KUALA LUMPUR: Syarikat konsesi lebuh raya bebas memilih sistem tol pintar masing-masing, termasuk membangunkan sistem sendiri, susulan keputusan kerajaan melaksanakan sistem aliran bebas pelbagai lorong (MLFF) menerusi pendekatan perniagaan kepada perniagaan (B2B).
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, pendekatan itu membolehkan setiap syarikat konsesi menentukan sistem yang ingin digunakan tanpa sebarang paksaan daripada kerajaan.
Katanya, keputusan berkenaan juga tidak melibatkan sebarang kos kepada kerajaan kerana pelaksanaan sistem tersebut dibuat melalui urusan antara syarikat konsesi dan penyedia teknologi.
“PLUS Malaysia Berhad (PLUS) membina sistem mereka sendiri, tetapi terpulang kepada syarikat konsesi lain sama ada mahu menggunakan sistem JustGo atau sistem lain.
“Keputusan ini tidak melibatkan kos kepada kerajaan. Jadi, terpulang kepada PLUS untuk berusaha menawarkan sistem yang mereka ada tanpa sebarang paksaan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penutup Persidangan Jalan Raya Malaysia (MRC) Ke-13 dan Kongres Serantau Asia Pasifik Persekutuan Jalan Raya Antarabangsa (IRF) Ke-6 di sini, hari ini.
PLUS sebagai pemegang konsesi lebuh raya terbesar di negara ini perlu terus menerajui penggunaan teknologi baharu dalam pembangunan lebuh raya pintar,
Katanya, Malaysia mempunyai 34 lebuh raya yang dikendalikan oleh 28 pemegang konsesi dengan keseluruhan jajaran melebihi 2,000 kilometer.
“Daripada lebih 2,000 kilometer lebuh raya di Malaysia, lebih 1,000 kilometer berada di bawah PLUS.
“Oleh itu, PLUS perlu sentiasa berada di hadapan dalam pembangunan teknologi, terutama yang melibatkan sistem seperti JustGo,” katanya. – UTUSAN











