Kesihatan mental murid perlu diberi perhatian

Kesihatan mental murid perlu diberi perhatian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEJADIAN serius membabitkan murid yang mendapat perhatian masyarakat kebelakangan ini mengingatkan kita keselamatan sekolah perlu dilihat secara lebih menyeluruh.

Kamera litar tertutup (CCTV), rondaan, kawalan akses dan prosedur keselamatan fizikal sememangnya penting. Namun, keselamatan murid juga mempunyai dimensi psikologi, sosial dan tingkah laku yang memerlukan keupayaan mengesan risiko serta bertindak secara tepat apabila tanda awal muncul.

Persoalan penting bukan sekadar sama ada sekolah mempunyai kaunselor atau program kesihatan mental tetapi apa yang berlaku apabila guru, Guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK), keluarga atau rakan sebaya mula menyedari seseorang murid sedang mengalami masalah yang mungkin memerlukan bantuan lanjutan yang lebih khusus.

Memuatkan artikel berkaitan…

Di sinilah pengesanan dan saringan awal memainkan peranan. Guru mungkin menjadi orang pertama yang melihat perubahan ketara dalam kehadiran, prestasi, hubungan sosial atau tingkah laku murid.

GBK pula mempunyai peranan penting dalam saringan psikososial, sokongan awal dan penilaian keperluan untuk tindakan selanjutnya. Jika keadaan menjadi lebih kompleks, kepakaran ahli psikologi, profesional kesihatan atau psikiatri atau mungkin pihak penguatkuasa lebih diperlukan.

Namun, saringan tidak harus dianggap sebagai kaedah untuk meramalkan jenayah atau jaminan setiap tragedi boleh dicegah.

Malahan, tidak semua krisis didahului tanda amaran yang jelas dan seringkali juga, tidak semua perubahan emosi, konflik atau tingkah laku menunjukkan seseorang murid akan membahayakan diri atau orang lain.

Nilai sebenar saringan ialah memastikan apabila tanda risiko muncul, ia tidak dibiarkan tanpa penilaian dan tindakan susulan.

Buli berulang, perubahan emosi mendadak, kecederaan kendiri, komunikasi berkaitan bunuh diri, peningkatan tingkah laku agresif atau ancaman serius juga tidak membawa makna yang sama.

Saringan seharusnya membuka ruang kepada penilaian yang lebih tepat, bukannya menjadi asas untuk melabel seseorang murid sebagai bermasalah atau berbahaya.

SARINGAN AWAL DAN RUJUKAN TEPAT
Persoalan kritikal ialah apa yang berlaku selepas sesuatu risiko dikenal pasti. Saringan tanpa tindakan susulan hanya menghasilkan maklumat.

Ekosistem yang berkesan memerlukan ambang rujukan yang jelas supaya warga sekolah mengetahui bila sesuatu masalah masih boleh diberikan sokongan di sekolah dan bila kes memerlukan penilaian atau intervensi daripada kepakaran lain.

Sebenarnya, asas kepada pendekatan ini sudah wujud. Pada 2026, Kementerian Pendidikan (KPM) menerbitkan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat dan Polisi Perlindungan Murid Sekolah.

KPM turut menjelaskan pendekatan keselamatan sekolah merangkumi pencegahan, pemantauan, pelaporan, intervensi dan penguatkuasaan serta kerjasama strategik merentas kementerian dan agensi.

Dalam aspek kesihatan mental, KPM menggunakan saringan dan intervensi seperti Minda Sihat serta menggerakkan Smart Support Team yang terdiri daripada GBK terlatih bagi membantu murid yang terkesan akibat krisis.

Bagi murid yang dikenal pasti mengalami kemurungan pada tahap teruk atau sangat teruk melalui saringan, konsultasi dilakukan bersama ibu bapa atau penjaga sebelum rujukan kepada klinik kesihatan atau hospital.

KPM dan Kementerian Kesihatan (KKM) juga bekerjasama menyediakan garis panduan sistem rujukan masalah kesihatan mental murid.

Jawatankuasa Parlimen pada 2026 turut mengesyorkan supaya KKM dan KPM memperkukuh pencegahan dan pengesanan awal kesihatan mental di sekolah melalui peningkatan literasi, latihan guru dan kaunselor serta mekanisme rujukan yang jelas bagi kes berisiko tinggi.

Lebih penting, jawatankuasa menekankan penyelarasan antara KKM dan KPM serta kesinambungan intervensi terhadap kanak-kanak dan remaja.

Justeru, isu yang perlu diberi perhatian bukan ketiadaan perkhidmatan semata-mata tetapi sejauh mana perkhidmatan tersebut benar-benar berfungsi sebagai satu sistem yang bersepadu.

KKM mempunyai rangkaian perkhidmatan psikiatri dan, setakat April 2026, terdapat 40 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) di seluruh negara. Perkhidmatan Mentari menekankan kesinambungan penjagaan dan penggunaan pasukan pelbagai disiplin.

Pendekatan multidisiplin tidak bermaksud satu profesion mengambil alih tugas profesion lain.

Sebaliknya, guru, GBK, ahli psikologi, profesional kesihatan, psikiatri, pentadbir, keluarga, perkhidmatan kebajikan dan agensi keselamatan menyumbang mengikut bidang kepakaran dan tahap risiko yang dihadapi.

Rujukan bukan memindahkan tanggungjawab, atau hilang kelayakan profesional tetapi berkongsi tanggungjawab mengikut kepakaran profesion lain yang turut berperanan penting.

Prinsip ini turut selari dengan perspektif Islam. Pemeliharaan nyawa atau hifz al-nafs merupakan antara tujuan utama maqasid syariah.

Melindungi murid ialah amanah yang menuntut usaha mencegah kemudaratan serta tindakan berasaskan rahmah dan maslahah.

Prinsip ta‘awun, iaitu saling membantu dalam kebajikan sebagaimana ditegaskan dalam Surah al-Ma’idah ayat 2, memberikan asas etika kepada kerjasama antara kepakaran.

Mendapatkan bantuan pihak yang lebih berkeahlian apabila sesuatu masalah melampaui kemampuan sendiri bukan melepaskan amanah tetapi sebahagian daripada menunaikannya dengan bertanggungjawab.

Rujukan juga tidak sepatutnya berakhir apabila murid dihantar mendapatkan bantuan. Selepas penilaian atau rawatan, perlu ada kesinambungan penjagaan, sokongan ketika kembali ke sekolah dan pemantauan susulan dengan tetap menjaga kerahsiaan serta maruah murid.

Jawatankuasa Parlimen menekankan bantuan tidak seharusnya berlaku sekali lalu di mana seseorang terputus daripada sistem sokongan.

Matlamatnya bukan menjadikan sekolah mampu meramalkan setiap tragedi. Itu tidak realistik.

Mentaliti seperti ini akan menyalahkan pihak sekolah sebagai gagal atau tidak berfungsi sekiranya tragedi berlaku.

Matlamat yang lebih munasabah ialah memastikan apabila tanda risiko dapat dikenal pasti, sistem mengetahui bagaimana hendak bertindak, bila perlu merujuk dan kepakaran mana yang perlu dilibatkan dan kekal berintegrasi secara sistematik.

Tidak semua murid memerlukan pakar. Namun, apabila kepakaran diperlukan, tiada murid sepatutnya terhenti di antara bilik darjah, bilik kaunseling dan pintu perkhidmatan kesihatan. – UTUSAN

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan (EMAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini