SEREMBAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 1,194.56 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah bernilai RM161.67 juta menerusi empat kes berasingan di Selangor dan Perlis dari 26 September hingga 12 Oktober lalu.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Amran Ahmad berkata, rampasan itu membabitkan dadah jenis heroin, kokain, methamphetamine dan ganja, dengan nilai terbesar berjumlah RM123.87 juta direkodkan di pusat kargo MAS, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor, pada 12 Oktober lalu.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap sebuah kotak kayu yang diikrarkan mengandungi kompresor udara menemukan 161 kg heroin dan 246.65 kg kokain yang disembunyikan di dalam kompresor berkenaan.
“Dua lelaki warga tempatan berusia 27 dan 47 tahun yang merupakan ejen penghantaran ditahan dan direman selama 14 hari bagi membantu siasatan kes itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Cawangan Narkotik JKDM di Kampung Jijan, Nilai, hari ini.
Amran berkata, antara modus operandi yang digunakan ialah membuat pengikraran palsu dengan mengisytiharkan barangan menggunakan nama lain, sedangkan kandungannya berbeza.
Dalam kes berasingan pada 10 Oktober lalu, JKDM Perlis merampas 460.31 kg methamphetamine bernilai RM23.02 juta yang ditemukan dalam 17 kotak di sebuah pondok di kawasan perkuburan Siam Jejawi, Arau, Perlis.
“Pondok terbiar itu dipercayai dijadikan tempat penyimpanan sementara sebelum dadah berkenaan diambil pihak lain,” katanya.
Sementara itu, JKDM Negeri Sembilan turut merampas 293.60 kg methamphetamine bernilai RM14.68 juta di Pusat Kargo Pos Aviation, KLIA, Sepang, pada 26 September lalu.
Dadah berkenaan dipercayai disembunyikan dalam kotak dagangan untuk dihantar ke Australia.
“Sebanyak 285 bungkusan plastik berisi serbuk kristal putih ditemukan dalam 12 daripada 16 kotak yang diikrarkan mengandungi barangan tidak berbahaya, manakala empat kotak lagi mengandungi alat ganti kenderaan,” katanya.
Dalam pada itu, JKDM Pulau Pinang merampas sebanyak 33 kg ganja bernilai RM99,000 dirampas selepas ditemukan dalam dua guni di sebuah jeti haram terbiar berhampiran Jalan Dato Ali, Sungai Perlis, Perlis, pada 1 Oktober lalu.
Amran berkata, penemuan itu dibuat selepas pasukan penguat kuasa mengejar sebuah bot di laut sebelum meminta bantuan pasukan darat apabila bot berkenaan memasuki kawasan cetek.
“Bot itu menyusup ke kawasan cetek menyebabkan bot kita tidak dapat meneruskan pengejaran. Jadi, kita meminta bantuan pasukan darat yang kemudian menemukan dua guni yang disembunyikan di bawah jeti haram berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN











