KUALA LUMPUR: Pengguna sistem MyDigital ID diwajibkan melalui lebih satu tapisan pengesahan sebelum sebarang akses diberikan sebagai langkah memperkukuh keselamatan daripada risiko kebocoran.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sistem tersebut menggunakan ciri Pengesahan Pelbagai Faktor (MFA), sekali gus risiko penipuan, penyamaran dan kecurian identiti semasa mengakses perkhidmatan dalam talian yang diintegrasikan dengan MyDigital ID dapat dibendung.
Katanya lagi, kerajaan kekal tegas dan komited dalam memastikan keselamatan serta perlindungan identiti digital rakyat sentiasa terpelihara.
“MyDigital ID akan terus diperkasa melalui perancangan serta pembangunan penambahbaikan jangka panjang, termasuk persediaan ke arah penggunaan teknologi Kriptografi Pasca Kuantum (PQC) sebagai langkah persediaan menghadapi ancaman siber komputer kuantum.
“Persediaan ini dilaksanakan menerusi pendekatan ‘crypto-agility’, iaitu keupayaan seni bina sistem untuk beralih kepada algoritma kriptografi baharu secara terancang, selaras perkembangan piawaian antarabangsa dan Dasar Kriptografi Negara (MyKriptografi),” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) mengenai mekanisme keselamatan kriptografi MyDigital ID dan statistik pendaftaran.
Ahmad Zahid berkata, MyDigital ID turut menggunakan pelbagai mekanisme keselamatan kriptografi bagi memastikan kerahsiaan, integriti dan keselamatan identiti digital rakyat dilindungi sepenuhnya, antaranya Prasarana Kunci Awam (PKI).
Katanya lagi, PKI ialah piawaian keselamatan menggunakan kriptografi bagi mengesahkan identiti pengguna dalam satu transaksi serta melindungi maklumat dan data daripada diakses atau diubah suai tanpa kebenaran.
Mengenai statistik pendaftaran, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, sebanyak 14.2 juta warga tempatan direkodkan sudah berdaftar dengan MyDigital ID, sehingga 7 Oktober lalu.
Daripada segi penggunaan, kata beliau, MyDigital ID secara kumulatif merekodkan 82.75 juta transaksi log masuk sejak 2024, dengan kadar penggunaan semasa melebihi 200,000 transaksi sehari.
“Peningkatan ini didorong perluasan penggunaan MyDigital ID yang kini menyokong lebih 200 aplikasi dan perkhidmatan digital sektor kerajaan dan swasta,” katanya. – UTUSAN











