PETALING JAYA: Juara Terbuka Arctic, Aaron Tai-Yap Roy King meneruskan rentak kemenangan apabila mara ke peringkat 16 terbaik pada Kejohanan Badminton Terbuka Denmark di Obaekvej, Denmark, hari ini.
Pasangan pecah ganding itu menewaskan beregu Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Lee Jong Min 13-21, 21-18, 21-19 dalam masa 57 minit pada pusingan awal di SJF Bank Arena.
Bagaimanapun, pada peringkat 16 terbaik, esok, Aaron-Roy King terpaksa berdepan ‘abang long’ mereka, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang merupakan pasangan No. 4 dunia.
Sementara itu, dalam saingan beregu campuran, gandingan No. 10 dunia, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai mencatat kemenangan straight set ke atas wakil Amerika Syarikat, Chen Zhi Yi-Francesca Corbett 21-15, 21-13 dalam masa 30 minit.
Menanti pasangan suami isteri itu di pusingan seterusnya ialah beregu No. 3 dunia, Mathias Christiansen-Alexandre Boje dari Denmark.
Satu lagi beregu campuran Malaysia, Chen Tang Jie-Chan Wan Tse mengetepikan rakan senegara, Jimmy Wong-Cheng Su Yin 21-19, 21-16 dalam masa 33 minit.
Pada peringkat 16 terbaik, Tang Jie-Wan Tse akan berdepan sama ada pasangan Indonesia, Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah atau Guo Xin Wa-Chen Fang Hui dari China. – UTUSAN











