Raja-Raja Melayu gesa pihak luar tidak campuri krisis takhta Negeri Sembilan

Raja-Raja Melayu gesa pihak luar tidak campuri krisis takhta Negeri Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Raja-Raja Melayu menegaskan pihak luar tidak seharusnya mencampuri atau mempolitikkan krisis takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sebaliknya menyeru semua pihak mengutamakan penyelesaian berlandaskan undang-undang dan adat negeri.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, sebarang perbezaan pendirian berhubung isu berkenaan hendaklah diselesaikan menerusi saluran yang sah, berautoriti dan berwibawa dalam semangat syura serta musyawarah.

Menurut beliau, proses penyelesaian itu mestilah berlandaskan undang-undang serta berpandukan peruntukan yang terkandung dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Ruang perundingan perlu dimanfaatkan dengan penuh keikhlasan demi mencapai penyelesaian yang bermaruah tanpa merendah dan menghina mana-mana pihak.

“Takhta merupakan suatu amanah yang membawa tanggungjawab besar terhadap negeri dan rakyat. Oleh itu, semangat kekeluargaan, keharmonian masyarakat serta memuliakan institusi diraja hendaklah sentiasa dipelihara sepanjang usaha mencari penyelesaian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Syed Danial berkata, Raja-Raja Melayu turut mengingatkan semua pihak agar mengelak daripada mengeluarkan kenyataan yang boleh mengaibkan atau mengambil tindakan yang berisiko mengeruhkan keadaan.

Katanya, Majlis Raja-Raja Melayu secara tegas menyeru pihak luar supaya tidak mencampuri atau mempolitikkan krisis institusi takhta yang sedang dihadapi di Negeri Sembilan.

“Isu yang sedang dihadapi jangan sama sekali dijadikan bahan politik, modal untuk meraih sokongan, ruang meningkatkan pengaruh atau medan memenuhi agenda perebutan kuasa.

“Kenyataan-kenyataan yang bercanggah dan kurang bertanggungjawab hanya akan mengeruhkan keadaan, meningkatkan ketegangan, mengelirukan rakyat serta mencemarkan kemuliaan institusi diraja,” tegas kenyataan itu.

Beliau berkata, orang ramai turut diseru agar tidak menyebarkan maklumat atau khabar angin yang belum disahihkan serta tidak terpengaruh dengan naratif yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

Katanya, masyarakat diminta memberikan ruang dan masa kepada pihak berautoriti untuk menjalankan tanggungjawab serta amanah mereka dengan penuh hikmah.

“Kepentingan Negeri Sembilan, keharmonian rakyat dan kemuliaan institusi diraja hendaklah didahulukan. Dalam keadaan seperti ini, sikap terbaik ialah memelihara adab, menghormati adat, menjaga tutur kata dan tidak mencampuri urusan yang bukan bidang kita,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini