Keputusan mahkamah tidak halang Najib jalani tahanan rumah

Keputusan mahkamah tidak halang Najib jalani tahanan rumah

NAJIB Tun Razak melambai kepada pengamal media ketika hadir bagi permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda kes 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan penangguhan hukuman bagi kes 1MDB tidak menghalang Datuk Seri Najib Razak daripada menjalani baki hukuman kes SRC International Sdn. Bhd. di bawah tahanan rumah (house arrest).

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, bekas Perdana Menteri itu telah menerima surat rasmi perintah tahanan rumah daripada Yang di-Pertuan Agong beserta lampiran syarat-syarat yang ditetapkan.

“Datuk Seri Najib memang sudah diberikan perintah tersebut bersama lampiran terma dan syarat pelaksanaan tahanan rumah. Cuma kandungan khusus tidak boleh didedahkan atas arahan pihak penjara demi mengelakkan pelbagai spekulasi awam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Malah, lokasi tahanan rumah di Langgak Duta juga telah disahkan di mana beliau akan tinggal bersama keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri keenam itu gagal dalam permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion berkait kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Permohonan itu difailkan sementara menunggu rayuan berhubung sabitan dan hukuman berkenaan didengar serta diputuskan di Mahkamah Rayuan.

Mengulas mengenai keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan penangguhan hukuman, Shafee menyifatkan keputusan tersebut sebagai amat mengecewakan dan akan terus memfailkan permohonan baharu secara terus di Mahkamah Rayuan.

“Kami tidak berhasrat untuk merayu keputusan penolakan ini secara prosedur biasa kerana ia memakan masa. Kami akan terus memfailkan permohonan penggantungan yang baharu di Mahkamah Rayuan bagi menjimatkan masa,” katanya.

Menurut Shafee lagi, keputusan penolakan penangguhan kes 1MDB itu tidak menjejaskan Perintah Diraja berkaitan tahanan rumah bagi penyelewengan dana SRC.

Katanya, sebaik sahaja denda RM50 juta dijelaskan kelak, bekas Presiden UMNO itu tetap berhak menjalani hukuman di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

“Apabila anak guam saya membayar denda RM50 juta itu, beliau boleh menjalani perintah tahanan rumah kes SRC berkenaan sehingga tahun 2028.

“Hanya selepas 2028, sekiranya hukuman kes 1MDB masih belum digantung, baru timbul isu berkenaan (penjara). Namun buat masa ini hingga 2028, perintah tahanan rumah itu tetap berjalan,” katanya.

Ditanya reaksi anak guamnya terhadap keputusan mahkamah hari ini, Shafee berkata, Najib berasa sangat kecewa dengan keputusan itu. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini