Bantuan RM1,000: Pemandu teksi, bas sekolah tidak perlu mohon

Bantuan RM1,000: Pemandu teksi, bas sekolah tidak perlu mohon, kerajaan ada data

ANTHONY Loke
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah tidak perlu membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan khas kewangan RM1,000 kerana nama mereka sudah ada dalam pangkalan data kerajaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bantuan secara sekali bayar itu akan diberikan berdasarkan rekod pemandu yang sah dan memiliki lesen Vokasional Perkhidmatan Awam (PSV).

“Jadi kita nak memudahkan, tidak ada proses pendaftaran. Dia akan ikut nama pemandu dalam pangkalan data kita.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kriteria kita senang sahaja. Selagi dia pemandu yang sah, dia ada lesen PSV, kita berikan bantuan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pemberian Bantuan Khas Kewangan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas bagi zon tengah di sini hari ini.

Katanya, seramai 53,000 pemandu dijangka menerima bantuan berkenaan, membabitkan 38,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah.

Loke berkata, kementerian akan menyalurkan bantuan secara berperingkat, sama ada melalui penyerahan baucar secara langsung atau pemindahan wang ke akaun bank penerima.

“Namun begitu, kita akan semak balik data itu bersama dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan kita cuba selesaikan proses pembayaran ini dalam tempoh dua hingga tiga minggu.

“Sebab itulah saya katakan kita sasarkan semua pemandu akan mendapat bantuan ini sebelum sambutan Deepavali,” katanya.

Katanya, pemandu yang tidak menerima bantuan akibat tercicir daripada senarai boleh menghubungi persatuan masing-masing bagi membolehkan maklumat mereka dikemas kini untuk tindakan kementerian.

Katanya, bantuan berkenaan dibiayai daripada sebahagian hasil kutipan nombor pendaftaran istimewa siri H yang menjana RM91 juta kepada kerajaan.

Loke berkata, biarpun Belanjawan 2027 belum diluluskan di Dewan Rakyat namun, wang itu digunakan hasil jualan nonbor pendaftaran istimewa (NPI) siri H yang telah pun dikutip dan diterima pada September lalu

“Jadi saya nak membetulkan ada persepsi yang katakan mengapa Belanjawan pun belum lulus, mengapa kita terus bayar? Ini bukan pakai Belanjawan tahun depan. Ini pakai hasil yang telah pun kita kutip,” katanya.

Menurutnya lagi, bantuan itu bersifat sekali bayar dan pelaksanaannya pada masa depan bergantung pada ketersediaan hasil tambahan serta kelulusan berkaitan. –utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini