Penglibatan kanak-kanak dalam aktiviti penciptaan kandungan tidak semestinya membawa kesan negatif.
Malah, boleh membantu perkembangan kreativiti, kemahiran komunikasi dan keyakinan diri jika dilakukan dengan bimbingan yang sesuai.
Bagaimanapun, kanak-kanak masih belum mempunyai kematangan emosi yang mencukupi untuk menghadapi tekanan dan kritikan masyarakat, terutama kesan jangka panjang daripada aktiviti tersebut.
Pakar psikologi klinikal kanak-kanak dan remaja, Dr. Noor Aishah Rosli berkata, pendedahan awal kepada dunia penciptaan kandungan berisiko menyebabkan kanak-kanak mengukur nilai diri berdasarkan jumlah tontonan dan tanda suka yang diterima.
“Mereka mungkin mula berfikir kandungan yang mendapat banyak tontonan bermaksud mereka disukai ramai, manakala kandungan yang kurang mendapat sambutan menunjukkan mereka tidak disukai,” katanya.
Sehubungan itu, ibu bapa perlu mengambil kira usia, tahap kematangan dan kesediaan anak sebelum menggalakkan mereka menghasilkan kandungan untuk tatapan umum.

Populariti jadi ukuran
Secara semula jadi, kanak-kanak memerlukan perhatian, penghargaan dan penerimaan daripada orang sekeliling.
Keperluan itu boleh menjadi semakin ketara apabila mereka menerima ganjaran segera melalui media sosial, termasuk tanda suka, komen positif, pujian dan pertambahan pengikut.
Pendedahan berterusan terhadap maklum balas pengguna boleh mempengaruhi cara mereka menilai diri sendiri.
Dalam masa sama, kehidupan peribadi kanak-kanak juga berisiko menjadi perhatian umum apabila orang ramai mula menunjukkan minat terhadap pelbagai aspek kehidupan mereka.
Keadaan itu menjadi lebih membimbangkan bagi kanak-kanak berusia antara 10 hingga 13 tahun yang masih mengembangkan keupayaan mengawal emosi dan berfikir secara rasional.
Mereka mungkin terlalu bergantung pada pengiktirafan pengguna sehingga kerap memeriksa telefon untuk mengetahui jumlah tontonan, tanda suka dan komen yang diterima.
“Kanak-kanak perlu memahami jumlah tontonan yang rendah bukan bermakna mereka tidak bagus atau melakukan sesuatu yang salah.
“Populariti di media sosial tidak sepatutnya menjadi ukuran untuk menentukan nilai diri mereka,” jelasnya.
Tekanan hasilkan kandungan
Aktiviti yang pada awalnya menyeronokkan boleh bertukar menjadi tekanan apabila kanak-kanak merasakan mereka perlu sentiasa menarik perhatian penonton.
Katanya, keinginan untuk mendapatkan lebih banyak tontonan dan pengikut boleh mendorong mereka mencari idea baharu secara berterusan sehingga sukar berehat daripada aktiviti tersebut.
“Apabila kanak-kanak mula merasakan mereka perlu menghasilkan kandungan yang lebih menarik supaya mendapat lebih banyak tontonan, aktiviti yang pada awalnya menyeronokkan boleh bertukar menjadi tekanan,” katanya.
Tekanan itu boleh menyebabkan mereka berasa gelisah ketika menunggu maklum balas pengguna, selain mudah marah atau berkecil hati apabila sambutan yang diterima tidak seperti diharapkan.
Dalam keadaan tertentu, mereka juga mungkin kehilangan minat terhadap aktiviti lain yang sebelum ini digemari.
Selain jumlah tontonan, komen mengenai rupa paras, pakaian, solekan dan cara bercakap juga boleh mempengaruhi imej diri kanak-kanak.
Mereka mungkin berasa tidak selesa dengan penampilan sendiri apabila terlalu memikirkan pandangan rakan sekolah, saudara-mara atau pengguna media sosial.
Pembelajaran, hubungan sosial terjejas
Penglibatan berlebihan sebagai pencipta kandungan boleh mengganggu rutin harian kanak-kanak, termasuk pembelajaran, waktu tidur serta hubungan dengan keluarga dan rakan sebaya.
Dr. Noor Aishah berkata, kanak-kanak yang terlalu memikirkan aktiviti tersebut, mungkin sukar memberikan tumpuan kepada pelajaran kerana fikiran mereka lebih tertumpu pada idea baharu atau prestasi yang dicapai.
“Apabila terlalu sibuk memikirkan kandungan, kanak-kanak boleh mengabaikan pembelajaran, waktu tidur dan aktiviti lain yang penting untuk perkembangan mereka,” katanya.
Masa untuk bermain dan berinteraksi dengan keluarga serta rakan juga boleh berkurangan apabila terlalu banyak masa dihabiskan untuk aktiviti dalam talian.
Sedangkan, bermain merupakan sebahagian penting dalam perkembangan kanak-kanak terutama dalam membina kemahiran sosial, berinteraksi dan mempelajari cara mengurus emosi.
Ibu bapa tetap batas
Ibu bapa perlu memastikan aktiviti penghasilan kandungan tidak mengganggu pendidikan, waktu tidur dan kehidupan sosial anak.
Justeru, tetapkan jadual penggunaan peranti mengikut usia dan kemampuan si kecil.
Namun, usaha itu boleh menjadi mencabar apabila perkongsian mula mendapat tontonan tinggi, menarik perhatian ramai atau berpotensi menjana pendapatan.
Tegasnya, akaun media sosial anak yang belum cukup matang perlu diurus dan dipantau oleh ibu bapa, termasuk dari segi perkongsian serta interaksi dengan pengguna lain.











