GEORGE TOWN : Dua penerbangan terus dari Pulau Pinang iaitu masing-masing ke Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta Doha di Qatar masih belum dapat disambung semula buat masa ini berikutan konflik yang berlaku di rantau Asia Barat sejak 28 Februari lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, bagaimanapun, perbincangan lanjut sedang dijalankan dengan kedua-dua syarikat penerbangan yang terlibat iaitu Flydubai dan Qatar Airways bagi mencari jalan untuk menyambung semula perkhidmatan berkenaan.
“Kita berharap agar keadaan kembali pulih kerana penyambungan semula penerbangan ini bergantung kepada kestabilan geopolitik di rantau tersebut selain keyakinan syarikat penerbangan dan pelancong.
“Secara purata, setiap penerbangan perlu membawa lebih 100 hingga 300 penumpang. Jadi, jika jumlah penumpang hanya sekitar 50 orang, syarikat penerbangan pastinya akan mengalami kerugian besar dan keadaan itu menyukarkan mereka untuk beroperasi,” katanya selepas menghadiri sesi kerjasama pelancongan Myanmar-Pulau Pinang, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, konflik yang berlaku di Asia Barat secara tidak langsung telah membuka peluang kepada Pulau Pinang untuk menerima penganjuran persidangan serta konvensyen antarabangsa yang pada asalnya dijadual berlangsung di Dubai atau lokasi lain di rantau berkenaan.
Katanya, ketika ini, sekurang-kurangnya lima acara yang sebelum ini dirancang berlangsung di sana telah dipindahkan ke Pulau Pinang dan kesemuanya acara tersebut juga telah selesai dianjurkan.
“Acara yang dipindahkan itu terdiri daripada pelbagai skala dengan jumlah peserta antara 100 hingga 1,000 orang termasuk persidangan korporat dan acara berkaitan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE),” ujar beliau.
Tambah Hon Wai, ketika ini, pihaknya masih menerima banyak pertanyaan bagi penganjuran acara seumpama itu termasuk sehingga tahun depan, namun, pengumuman hanya akan dibuat selepas mendapat pengesahan rasmi berhubung penganjuran berkenaan.-UTUSAN











