Sekolah perlu ada dasar perlindungan kanak-kanak

Sekolah perlu ada dasar perlindungan kanak-kanak

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua sekolah perlu mempunyai dasar perlindungan kanak-kanak yang jelas serta memastikan guru dilatih untuk mengenal pasti dan menangani kes penderaan seksual dalam kalangan murid.

Pengasas P.S. The Children merangkap Ketua Eksekutif Play Therapy Malaysia, Madeleine Yong berkata, pelaksanaan dasar itu penting bagi memastikan setiap sekolah mempunyai sistem sokongan yang mampu bertindak apabila murid mendedahkan pengalaman penderaan yang dialami.

Menurutnya, guru perlu diberikan pengetahuan mengenai pelbagai bentuk penderaan termasuk pengabaian, penderaan fizikal, emosi dan seksual supaya mereka dapat mengenal pasti kanak-kanak yang mungkin menjadi mangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perkara paling penting yang diperlukan ialah pelaksanaan dasar perlindungan kanak-kanak.

“Setiap sekolah perlu mempunyai dasar tersebut dan semua guru mesti dilatih mengenai perlindungan kanak-kanak,” katanya kepada ditemui pemberita di Persidangan Kepimpinan Perlindungan Kanak-Kanak Kebangsaan 2026 di ibu negara, hari ini. 

Madeleine berkata, guru memainkan peranan penting dalam melindungi kanak-kanak memandangkan murid menghabiskan banyak masa di sekolah dan mungkin lebih selesa berkongsi pengalaman dengan guru yang dipercayai.

Bagaimanapun, katanya, keupayaan guru untuk membantu mangsa turut bergantung kepada kewujudan sistem sokongan di sekolah yang bersedia mengambil tindakan selepas menerima pendedahan berhubung penderaan.

“Guru perlu mempunyai sekolah yang menyokong mereka, tempat mereka boleh memaklumkan perkara itu kepada pihak pentadbiran dan tindakan diambil.

“Bukan sekadar mempunyai sistem sokongan, tetapi sistem yang benar-benar bertindak apabila kanak-kanak membuat pendedahan,” katanya.

Beliau berkata, keperluan dasar perlindungan kanak-kanak bukan sahaja terhad kepada sekolah, malah perlu meliputi semua institusi dan industri yang berurusan dengan golongan itu.

Katanya, pusat asuhan, tadika, taman tema dan pusat hiburan yang melibatkan kanak-kanak juga perlu memahami bentuk penderaan serta tindakan yang sewajarnya diambil bagi melindungi mereka. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini