PUTRAJAYA: Malaysia dan Indonesia telah mengadakan perbincangan bagi meneroka kerjasama dalam menangani isu kebakaran hutan di Kalimantan serta Sumatera sehingga mencetuskan jerebu rentas sempadan yang berlarutan sehingga kini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perbincangan itu membabitkan Kementerian Luar Negeri (KLN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta pihak berkuasa Indonesia bagi mencari kaedah terbaik dalam menangani isu berkenaan secara bersama.
“Nadma, KLN, MKN dan Pihak Berkuasa Indonesia telah pun mengadakan perbincangan untuk kita dapat bekerjasama, bagaimana cara kita menangani isu jerebu dan kebakaran hutan di Kalimantan dan juga di Sumatera,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Kelmarian, media melaporkan Malaysia akan membawa isu jerebu rentas sempadan ke mesyuarat peringkat Menteri Luar ASEAN sebelum Sidang Kemuncak ke-49 blok itu di Manila, Filipina, bulan depan bagi membincangkan mekanisme serantau yang lebih berkesan menangani masalah terbabit.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, tempoh jerebu yang berlaku ketika ini berlarutan jauh lebih lama berbanding tahun-tahun sebelum yang lazimnya berlangsung sekitar seminggu.
“Tetapi (ini) perbincangan antara kedua pihak untuk pertama kalinya, pihak berkuasa Indonesia dan pihak berkuasa Malaysia akan memulakan perbincangan bagaimana untuk kita dapat bekerjasama untuk kita menangi isu jerebu yang nampaknya makin lama makin teruk.
“Ia seperti tak berkesudahan. Macam tahun-tahun sebelum, seminggu, ini sekarang dah sebulan lebih dekat dua bulan,” jelasnya.
Tambah Mohamad lagi, situasi berlanjutan itu boleh mengancam kesihatan penduduk di Malaysia, Singapura dan Indonesia, sekali gus memerlukan usaha bersama bagi menangani punca jerebu berkenaan.
“Alhamdulillah, kedua-dua buah negara melalui agensi-agensi dan kementerian luar akan meneroka cara bagaimana untuk kita mengadakan kerjasama untuk kita membantu bersama-sama mengatasi isu kebakaran hutan ini,” katanya. – UTUSAN











