Pesawat mendarat cemas 'power bank' terbakar dalam kabin - Utusan Malaysia

Pesawat mendarat cemas ‘power bank’ terbakar dalam kabin

GAMBAR fail sebuah pesawat IndiGo. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Suasana dalam sebuah penerbangan komersial milik syarikat IndiGo yang dalam perjalanan dari New Delhi ke Chennai minggu lalu bertukar panik apabila sebuah peranti pengecas mudah alih atau ‘power bank’ dilaporkan terbakar di dalam ruang bagasi atas kepala.

Ia sekali gus memaksa pesawat berkenaan melakukan pendaratan cemas di Hyderabad.

Rakaman video yang dirakam oleh salah seorang penumpang memaparkan api menyambar ke ruang penyimpanan di atas tempat duduk ketika penumpang yang cemas bergegas mengawal kebakaran tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menerusi rakaman berkenaan, beberapa penumpang kelihatan berdiri di ruang laluan kabin sambil cuba memadamkan nyalaan api dengan mengetuk bahagian yang terbakar menggunakan beg tangan mereka secara berulang kali.

Menurut laporan, insiden cemas itu bermula apabila sebuah ‘unit power bank’ yang mengalami kerosakan dalaman terbakar secara tiba-tiba di dalam ruang simpanan bagasi.

Bagaimanapun, anak-anak kapal berjaya mengawal dan memadamkan api sepenuhnya menggunakan alat pemadam api kecemasan yang disediakan di dalam pesawat.

Meskipun api berjaya dipadamkan, juruterbang mengambil langkah berjaga-jaga dengan melencongkan penerbangan ke Hyderabad. 

Pesawat mendarat dengan selamat dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan melibatkan kesemua penumpang dan anak kapal.

Insiden berkenaan kembali mencetuskan kebimbangan mendalam berhubung risiko keselamatan yang ditimbulkan oleh penggunaan bateri litium-ion yang dibawa ke dalam kabin pesawat komersial.

Pakar penerbangan mengingatkan bahawa power bank yang menggunakan bateri jenis litium-ion berisiko tinggi untuk mengalami pemanasan melampau sekiranya rosak, mengalami kecacatan pembuatan atau berdepan masalah litar pintas dalaman. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini