Sabah rekod 100 kes kanser kanak-kanak setahun

Sabah rekod 100 kes kanser kanak-kanak setahun

DR. BRANDON PATRICK SENAGANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan antara 80 hingga 100 kes baharu kanser kanak-kanak setiap tahun, dengan hampir separuh pesakit berasal dari luar Kota Kinabalu, termasuk kawasan luar bandar dan pedalaman.

Pengerusi Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Cawangan Sabah, Dr. Brandon Patrick Senagang berkata, leukemia atau kanser darah merupakan antara kanser paling kerap dihidapi kanak-kanak di negeri ini.

Menurutnya, pada 2025, leukemia merangkumi 38.7 peratus daripada kes kanser kanak-kanak, diikuti ketumbuhan pepejal lain (43 peratus), ketumbuhan otak (10.7 peratus) dan limfoma (7.5 peratus).

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, data 2026 setakat ini menunjukkan leukemia meningkat kepada 51 peratus daripada kes direkodkan, diikuti ketumbuhan otak (14.3 peratus), limfoma (10 peratus) dan ketumbuhan pepejal lain (24.3 peratus).

Beliau berkata, kebanyakan pesakit didiagnosis menghidap leukemia akut yang memerlukan rawatan intensif dan berpanjangan, malah ada yang perlu menjalani rawatan di Kota Kinabalu sehingga lapan bulan.

Katanya, keluarga dari daerah seperti Pitas, Kota Marudu dan Kudat berdepan kesukaran mendapatkan rawatan kerana jarak perjalanan jauh, selain menanggung kos pengangkutan, penginapan dan perbelanjaan harian.

“Pada masa sama, ibu bapa terpaksa meninggalkan pekerjaan serta ahli keluarga lain untuk menemani anak menjalani rawatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sehubungan itu, MMA Sabah menggesa kerajaan negeri menyediakan rumah transit atau penginapan sementara khusus untuk kanak-kanak yang menjalani rawatan kanser bersama penjaga mereka.

Menurutnya, kemudahan itu boleh diwujudkan dengan mengubah suai premis kerajaan berhampiran hospital atau menerusi kerjasama dengan pertubuhan kebajikan dan sektor swasta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini