PARIS: Sekumpulan penggodam telah bertindak menceroboh dan meningkatkan suhu peti sejuk serta unit pembeku di ratusan buah pasar raya di seluruh Perancis sehingga mencecah 50 darjah Celsius pada waktu malam, sekali gus mencetuskan kebakaran selain merosakkan bekalan makanan.
Pejabat pendakwa raya Paris mengesahkan bahawa satu serangan berskala besar menjejaskan peti sejuk bersambung di beberapa peruncit makanan utama di Perancis yang membawa kepada kerugian produk makanan dan insiden kebakaran.
Antara yang menjadi sasaran termasuk kira-kira 150 hingga 200 cawangan Intermarche dan hampir 100 cawangan Cooperative U.
Pihak Intermarche memaklumkan kepada agensi berita AFP bahawa cawangan-cawangan terbabit terpaksa membuang kesemua produk segar dan sejuk beku.
Ketua Pegawai Eksekutif Cooperative U, Dominique Schelcher menyifatkan serangan siber yang bermula sejak malam Ahad itu sebagai sesuatu yang belum pernah terjadi sebelum ini.
“Mensasarkan peralatan yang penting untuk pengawetan produk segar dan bekalan makanan rakyat Perancis adalah amat serius, belum pernah berlaku sebelum ini dan tidak boleh diterima,” tulis beliau di platform X.
Sementara itu, pihak Carrefour mengesahkan 80 pasar rayanya telah terjejas, manakala sebahagian besar daripada 6,000 kedainya terselamat.
Sekitar 30 cawangan Monoprix turut menjadi sasaran.
Sluran berita BFM TV melaporkan bahawa penggodam berjaya mencetuskan proses nyahbeku paksa secara jarak jauh pada sistem penyejukan di pelbagai kedai milik rangkaian pasar raya terbesar Perancis, E. Leclerc.
Suhu didapati telah diubah dari jauh, mengakibatkan kemusnahan stok produk segar dan sejuk beku.
Pejabat pendakwa raya Paris telah membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti mangsa dan merungkai kaitan kerosakan yang dilaporkan dari sudut kerugian bahan makanan serta punca tercetusnya kebakaran.
Intermarche turut meluahkan kebimbangan mengenai isu insurans kerana polisi sedia ada didapati tidak melindungi insiden kerosakan dalam kedai seumpama itu.
Insiden ini berlaku di tengah-tengah kebimbangan yang semakin memuncak di Eropah terhadap ancaman serangan siber oleh pihak berniat jahat yang mampu mendatangkan malapetaka kepada pelbagai sektor kritikal.
Bulan lalu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron telah mengarahkan langkah-langkah perlindungan khusus diambil bagi membentengi infrastruktur kritikal negara daripada sebarang ancaman hibrid. -AFP/AGENSI











