LA PAZ: Pihak pendakwa raya Bolivia telah mengumumkan siasatan rasmi terhadap bekas presiden berhaluan kiri, Evo Morales atas dakwaan penglibatan beliau dalam kes pembunuhan dan penyeksaan warga Eropah pada tahun 2009.
Tujuh belas tahun lalu, pihak polis telah menyerbu sebuah hotel di bandar Santa Cruz yang mengakibatkan kematian tiga individu akibat tembakan, iaitu Eduardo Rozsa Flores (warganegara Bolivia-Croatia), Michael Dwyer (warganegara Ireland) dan Arpad Magyarosi (warganegara Hungary-Romania).
Dua lagi individu iaitu Mario Tadic (warganegara Bolivia-Croatia) dan Elod Toaso (warganegara Hungary) terselamat. Pentadbiran Morales pada masa itu mendakwa bahawa Flores mengetuai usaha mendorong gerakan pemisah dengan sokongan kewangan daripada golongan elit ekonomi sayap kanan di Santa Cruz.
Bertindak atas aduan yang dikemukakan oleh wakil rakyat sayap kanan, Tomasa Yarhui dan Rodrigo Antonio, Pemangku Peguam Negara, Jose Armando Urioste mengumumkan siasatan awal terhadap Morales.
Dalam surat kepada Mahkamah Agung, pihak berkuasa menyatakan bahawa mereka sedang mengumpulkan keterangan terhadap Morales dan bekas naib presidennya, Alvaro García Linera atas dakwaan melakukan jenayah pembunuhan, penderaan, penyeksaan dan penahanan haram.
Ketika serbuan itu berlaku, Morales pernah memberitahu pihak media semasa lawatan rasmi ke Venezuela bahawa beliau sendiri mengarahkan penahanan warga asing terbabit yang disifatkannya sebagai tentera upahan.
Keluarga mangsa dan mangsa yang terselamat sebelum ini pernah membawa kes tersebut ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Inter-Amerika, yang memutuskan pada tahun 2021 bahawa kerajaan telah melanggar hak asasi manusia.
Morales, yang merupakan pemimpin Orang Asli pertama menerajui Bolivia, kini dilaporkan bersembunyi bagi mengelakkan dua waran tangkap terhadapnya.
Waran tersebut masing-masing berkaitan dengan dakwaan peranan beliau dalam protes besar-besaran yang melumpuhkan negara selama 53 hari pada awal tahun ini dan pertuduhan pemerdagangan di bawah umur.
Beliau bagaimanapun menafikan kesemua dakwaan tersebut. – AGENSI











