Kos rendah punca lambakan produk import 

Kos rendah punca lambakan produk import 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kos pengeluaran dan tenaga kerja yang lebih rendah serta pengeluaran secara besar-besaran antara faktor menyebabkan barangan import ditawarkan pada harga murah sehingga memberi tekanan kepada industri tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr.

SARAVANAN THAMBIRAJAH

berkata, faktor lain termasuk penggunaan teknologi lebih cekap, rantaian bekalan lebih kompetitif, kadar pertukaran mata wang, kos logistik dan strategi pemasaran agresif melalui platform e-dagang.

Memuatkan artikel berkaitan…

 

Beliau berkata, barangan import murah boleh memberi tekanan besar kepada industri tempatan khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang sukar bersaing dari segi harga dan kos pengeluaran.

Bagaimanapun katanya, tidak semua barangan import murah boleh dianggap sebagai ancaman kerana persaingan sihat memberi manfaat kepada pengguna melalui harga lebih berpatutan dan pilihan lebih banyak.

“Apa yang membimbangkan ialah apabila barangan import dijual pada harga terlalu rendah akibat persaingan tidak adil, lambakan produk atau ketidakpatuhan terhadap standard keselamatan dan kualiti.

“Keadaan itu boleh menjejaskan pengeluar tempatan, peluang pekerjaan dan kelangsungan industri negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, akhbar ini melaporkan, kebergantungan berterusan terhadap produk import yang ditawarkan pada harga lebih murah boleh menjejaskan kelangsungan pengeluar tempatan dan meningkatkan kebergantungan negara kepada pembekal luar dalam jangka panjang.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, keadaan itu boleh menyebabkan pengeluar tempatan kehilangan keupayaan untuk terus beroperasi sekiranya tidak mampu bersaing dengan produk import.

Saravanan berkata, harga murah tidak semestinya bermaksud produk berkenaan berkualiti rendah, sebaliknya semua barangan import perlu mematuhi standard keselamatan, kualiti dan peraturan yang sama seperti produk tempatan.

Sehubungan itu, kerajaan perlu membantu industri tempatan meningkatkan produktiviti, penggunaan teknologi dan kecekapan pengeluaran supaya mampu bersaing tanpa terlalu bergantung kepada langkah perlindungan pasaran.

“Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Suruhanjaya Persaingan Malaysia wajar memperkukuh pemantauan harga, ketelusan rantaian bekalan serta menyiasat sebarang unsur manipulasi harga atau amalan antipersaingan.

“Barangan yang dibawa masuk pada harga murah tidak sepatutnya dijual kepada pengguna pada harga tidak munasabah akibat margin keuntungan terlalu tinggi dalam rantaian pembekalan.

“FOMCA menyokong persaingan pasaran yang sihat, namun persaingan mestilah adil kepada industri tempatan dan pengguna, selain memastikan keselamatan produk serta harga barangan kekal mampu dibeli rakyat,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berkata, kos pengeluaran yang tinggi antara faktor menyebabkan pengeluar tempatan sukar bersaing dengan barangan import yang ditawarkan pada harga lebih murah.

Beliau berkata, kos pengeluaran tersebut merangkumi buruh, bahan mentah, tenaga, sewaan premis dan logistik.

Katanya, sesetengah pengeluar tempatan juga beroperasi pada skala lebih kecil, menyebabkan kos pengeluaran seunit lebih tinggi berbanding pengeluar besar yang menikmati ekonomi bidangan.

“Tahap automasi, kecekapan rantaian bekalan, akses kepada teknologi dan kuasa tawar-menawar dengan pembekal turut mempengaruhi harga produk.

“Selain itu, pengeluar tempatan perlu menanggung kos pematuhan piawaian dan pengedaran dalam pasaran domestik, sedangkan sesetengah pengimport mendapat manfaat daripada rangkaian pengeluaran dan logistik antarabangsa yang lebih cekap,” katanya.

Mohamad Idham berkata, barangan import khususnya dari China boleh ditawarkan pada harga lebih rendah hasil gabungan beberapa kelebihan termasuk skala pengeluaran besar, rangkaian pembekal yang lengkap, automasi, persaingan sengit dan kecekapan logistik.

Katanya, ekosistem perindustrian yang luas membolehkan banyak komponen diperoleh dengan cepat dan pada kos kompetitif, sekali gus mengurangkan kos keseluruhan pengeluaran.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini