PETALING JAYA: Langkah Belanjawan 2027 melanjutkan pengecualian duti setem bagi hartanah kediaman berharga sehingga RM750,000 sehingga 2030 dijangka meningkatkan akses pemilikan rumah serta merangsang permintaan sektor hartanah.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif S P Setia Berhad (S P Setia), Datuk Zaini Yusoff berkata, pelepasan cukai berkenaan memberi sokongan bermakna kepada bakal pembeli rumah, di samping memperkukuh daya tahan ekosistem pembinaan negara.
“Lanjutan pengecualian duti setem ini adalah langkah praktikal dalam membantu pembeli serta merangsang pasaran kediaman secara berterusan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, penekanan Belanjawan 2027 terhadap pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan keterhubungan serantau turut melengkapkan strategi peluasan S P Setia dalam sektor perindustrian di Johor.
Katanya, sokongan berterusan kerajaan menerusi Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) pula sejajar dengan rancangan pemajuan Taman Perindustrian Setia Fontaines sebagai hab industri hijau.
“Penekanan terhadap pelaburan hijau ini menyokong strategi kami untuk membesarkan platform perindustrian S P Setia, di samping perniagaan teras perbandaran,” jelasnya.
Mengulas aspek pembinaan, Zaini berkata, pengenalan semula mekanisme Perubahan Harga (VOP) berupaya membantu kontraktor menguruskan turun naik harga bahan mentah seperti diesel dan bitumen.
Menurut beliau, pengawalan kos pembangunan dan pembinaan kekal kritikal bagi memastikan rumah berkualiti dapat ditawarkan pada kadar mampu milik.
Kumpulan itu turut mengesahkan kesediaan untuk bekerjasama menerusi model awam-swasta bagi meningkatkan bekalan perumahan mampu milik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). – UTUSAN









