SHAH ALAM: Perbincangan perjanjian kerjasama (CSA) antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor dengan kerajaan negeri tidak melibatkan perbincangan dalam kalangan 11 wakil rakyat parti berkenaan.
Sebaliknya perkara itu diputuskan melalui Biro Politik Bersatu yang kemudian memberi mandat kepada Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk membuat rundingan.
ADUN Bukit Melawati, Datuk Noorazley Yahya berkata, beliau mengakui perkara itu tidak bincangkan secara khusus dalam kalangan ADUN-ADUN Bersatu sebaliknya dimaklumkan secara umum.
Katanya, bagaimanapun keputusan yang dibuat adalah tidak bersifat politik iaitu menyokong Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan kerajaan negeri.
“Kita bukan masuk gabungan Pakatan Harapan (PH). Sokongan itu pun sudah lama digerakkan sebelum kedua-duanya membuka pintu untuk berbincang dengan matlamat antaranya memastikan kebajikan rakyat terpelihara.
“Antara yang ditekankan adalah memastikan peranan ADUN Bersatu sebagai pembangkang terlibat dalam mesyuarat-mesyuarat tindakan daerah supaya isu-isu rakyat dapat dibangkit dan diselesaikan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Minggu lalu, akhbar ini melaporkan ADUN Selangor dari Bersatu dijangka mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri dalam masa terdekat bagi menandatangani perjanjian kerjasama.
Perkara itu kemudian disahkan oleh Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, yang memaklumkan rundingan antara kedua-dua pihak masih berjalan dan perjanjian kerjasama itu dijangka akan dimeterai sebelum pembentangan belanjawan negeri.
Noorazley menambah, bagaimanapun ADUN-ADUN Bersatu masih kekal sebagai pembangkang yang akan melaksanakan fungsi semak dan imbang.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Mohd. Rafiq Mohd. Abdullah menegaskan sokongan yang dilakukan tidak akan menggadaikan prinsip parti dengan meletakkan syarat-syarat tertentu.
Beliau turut menjelaskan, keputusan menyokong dibuat melalui Biro Politik Bersatu dan ADUN-ADUN pula perlu memainkan peranan sebagai ahli parti untuk akur dengan hala tuju yang ditentukan oleh pucuk pimpinan.
“Seperti mana dalam Perlembagaan parti, tidak kira seseorang itu wakil rakyat, ADUN atau Ahli Parlimen, dia tertakluk kepada keputusan dan arahan parti. Kalau tak setuju boleh keluar, keputusan parti bukan peribadi.
“(Lagipun) Perjanjian sama pernah dilakukan di peringkat Persekutuan sebelum ini. Malah, Barisan Nasional (BN) juga menandatangani kerjasama bagi membentuk Kerajaan Perpaduan. Justeri, ia bukan perkara baharu,” ujarnya.-UTUSAN











