Empat individu dituduh bunuh, subahat bunuh penjual durian

Empat individu dituduh bunuh, subahat bunuh penjual durian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh dan bersubahat membunuh seorang penjual durian yang mayatnya ditemui ditanam di Semenyih, bulan lalu.

 

Tertuduh, Asrul Siwi, 32; Amirul Maamur Rosli, 27; Amri Rizani Darus, 36; kesemuanya warga tempatan dan warga Indonesia, Rijal Haryono, 47, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Saira Banu Mohamed Ashrof Raja.

Memuatkan artikel berkaitan…

 

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

 

Mengikut pertuduhan, Asrul dan Amirul bersama tiga lagi individu yang masih bebas didakwa membunuh Mulialisman Nordi, 34, di Batu 28 Sungai Lalang, Ulu Semenyih, di Hulu Langat, antara pukul 4 pagi, 24 September dan 2 petang, 25 September lalu.

 

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 dan 40 tahun, jika sabit kesalahan. Sekiranya tidak dihukum mati, tertuduh boleh dikenakan sebatan minimum 12 kali.

 

​Sementara itu, Amri dan Rijal bersama dua individu yang telah dituduh serta dua lagi yang masih bebas, didakwa bersubahat membantu Asrul dan Amirul membunuh mangsa dengan melarikan si mati dan mengasah cangkul di lokasi serta waktu yang sama.

 

​Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 302 akta sama, yang membawa hukuman serupa.

 

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atiqah Mohamad Alias manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 1 Disember ini.

 

Sebelum ini, mangsa yang bekerja sebagai penjual durian dilaporkan disyaki dibunuh selepas dilarikan sekumpulan individu dari sebuah bengkel kereta.

 

Mangsa dipercayai dilarikan oleh sekumpulan individu dengan menaiki sebuah kenderaan jenis Honda sebelum mayatnya ditemukan ditanam di Semenyih.-UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini