KUALA LUMPUR: Malaysia belum menerima petunjuk rasmi daripada pihak Amerika Syarikat (AS) mengenai penarikan balik pengecualian tarif bagi produk semikonduktor negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pengecualian tersebut masih diteruskan tanpa sebarang pengenaan tarif baharu buat masa ini.
Katanya, rundingan berterusan antara kedua-dua negara masih berjalan merangkumi beberapa isu utama termasuk buruh paksa, kapasiti berlebihan, persekitaran serta subsidi kerajaan.
“Bagi isu buruh paksa, Malaysia telahpun melepasi fasa penyelesaian dengan dikenakan kadar caj sebanyak 10 peratus sahaja berbanding 12.5 peratus bagi negara-negara lain.
“Sementara itu, bagi aspek persekitaran dan subsidi kerajaan, saya memberi jaminan bahawa Malaysia berada dalam kedudukan yang kukuh kerana tidak mengamalkan pemberian subsidi eksport yang merencatkan pasaran luar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas pelancaran Hari Perniagaan Kesatuan Eropah-Malaysia 2026: Selangor Menjadi Tumpuan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump telah mengejutkan rantaian bekalan global apabila membayangkan rancangan untuk mengenakan tarif setinggi 100 peratus ke atas cip semikonduktor import yang tidak dikilangkan di dalam negara mereka.
Bagaimanapun, MITI mengesahkan bahawa produk semikonduktor Malaysia setakat ini masih dikecualikan daripada pelaksanaan tarif tersebut.
Mengulas mengenai isu kapasiti berlebihan, Johari berkata, perkara tersebut tidak melibatkan kapasiti domestik Malaysia sebaliknya merujuk kepada pihak ketiga sekiranya timbul.
Ketegasan pendirian dalam rundingan perdagangan global ini membuktikan keupayaan Malaysia melindungi kepentingan industri strategik negara di tengah-tengah ketegangan geopolitik dunia.
“Mana-mana pasaran yang kita mahu masuki mempunyai kriteria dan undang-undang tersendiri yang perlu dipatuhi. Jika kita tidak mematuhinya, kita tidak boleh memasuki pasaran itu,” katanya. – UTUSAN











