SANAA: Seorang pegawai Houthi pada Isnin memberi amaran bahawa Amerika Syarikat (AS) akan menerima tindak balas yang menyakitkan sekiranya menyertai perang di Yaman, ketika Arab Saudi dilaporkan meminta bantuan Washington untuk menangani kumpulan itu susulan serangan berulang kali.
Perang saudara Yaman, yang menyaksikan gabungan tentera pimpinan Arab Saudi menyokong kerajaan negara itu menentang Houthi yang disokong Iran, kembali memuncak pada Julai, beberapa bulan selepas konflik serantau lebih luas mencetuskan ketidaktentuan pasaran tenaga dan menjerumuskan Asia Barat ke dalam krisis.
Houthi segera mula menyasarkan kemudahan minyak, kapal tangki dan hab pengangkutan Arab Saudi, termasuk beberapa siri serangan maut di lapangan terbang Riyadh, sekali gus menggoncang negara pengeksport minyak terbesar dunia itu.
Letupan kembali kedengaran di ibu negara itu pada malam Isnin, dengan gabungan pimpinan Arab Saudi mendakwa berjaya memintas peluru berpandu Houthi, manakala kumpulan itu berkata, mereka sekali lagi menyasarkan lapangan terbang berkenaan.
Gabungan itu kemudian mengumumkan bahawa pihaknya memintas dua peluru berpandu balistik di selatan negara itu, berhampiran sempadan Yaman.
Dalam kenyataan yang disiarkan di platform X, gabungan itu berkata pihaknya telah memintas dan memusnahkan dua peluru berpandu balistik yang dilancarkan oleh Houthi ke arah Khamis Mushait, sebuah bandar yang pernah menyaksikan pangkalan tentera Arab Saudi diserang.
Susulan serangan di Lapangan Terbang Riyadh pada Sabtu yang mengorbankan 13 orang, Presiden AS, Donald Trump berkata bahawa beliau sedang mempertimbangkan untuk menyertai serangan Arab Saudi terhadap kumpulan itu, selepas dilaporkan menolak permintaan bantuan kerajaan berkenaan sebelum ini.
“Jika AS terlibat dalam pencerobohan terhadap Yaman, kami tidak akan mempertimbangkan keputusan untuk bertindak balas bagi tempoh lama. Sebaliknya, tindak balas pantas dan menyakitkan akan dilancarkan dengan menyasarkan AS serta semua kepentingannya di rantau ini,” kata anggota biro politik Houthi, Mohammed Al Bukhaiti kepada AFP dalam satu temu bual.
Beliau turut memberi amaran kepada semua kakitangan dan pekerja di kemudahan minyak dan lapangan terbang Arab Saudi supaya menjauhi lokasi berkenaan kerana ia kini menjadi sasaran yang sah.
Serangan pada Sabtu di Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid itu merupakan serangan paling dahsyat di bumi Arab Saudi dalam tempoh lebih sedekad, selain mengakibatkan ratusan orang cedera.
Bukhaiti berkata, tujuan kempen menyasarkan kepentingan Arab Saudi adalah untuk menghantar mesej bahawa Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman tidak lagi boleh melancarkan pencerobohan terhadap Yaman dari kedudukan yang selamat. – AFP











