PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi meneliti isu membabitkan My EG Sdn Bhd (MyEG) dan Zetrix AI Berhad.
SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan aduan berhubung perkara itu telah diterima pada 7 Oktober lalu.
Katanya, SPRM turut mengambil maklum bahawa isu berkenaan sedang disiasat oleh PDRM.
“Sehubungan itu, SPRM akan bekerjasama rapat dengan PDRM bagi meneliti dan melaksanakan perkongsian maklumat dalam menyiasat perkara ini berdasarkan kesalahan-kesalahan di bawah bidang kuasa pihak polis.
“PDRM akan menyalurkan apa-apa maklumat sekiranya wujud elemen rasuah untuk tindakan SPRM selanjutnya,” katanya di sini.
Kata kenyataan itu, SPRM mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pihak untuk menyalurkan maklumat lanjut berkaitan isu tersebut.
Pada masa yang sama, SPRM menyeru semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai siasatan ini selain tidak menyebarkan berita tidak sahih yang boleh menjejaskan proses siasatan.
“SPRM tidak akan berkompromi dan akan melaksanakan siasatan dengan bebas, adil, serta berlandaskan undang-undang,” jelasnya.
Pada 5 Oktober lalu, sejumlah RM314 juta kutipan hasil kerajaan belum dipindahkan oleh My E.G. Sdn Bhd (MYEG) dan Zetrix AI Berhad ke Akaun Terimaan Utama Pejabat Perakaunan Kementerian Pengangkutan bermula 19 Mei sehingga 30 September lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kemudian berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengambil keputusan untuk menggantung perkhidmatan MYEG dan Zetrix AI Berhad sebagai ejen pemungut hasil JPJ berikutan kegagalan syarikat-syarikat tersebut memenuhi kewajipan memindahkan kutipan hasil kerajaan dalam tempoh yang ditetapkan.-UTUSAN











