12 pasukan sertai CommFest: Nukilan Lentera Dari Lensa, Demi Malaysia

12 pasukan sertai CommFest: Nukilan Lentera Dari Lensa, Demi Malaysia

Kumpulan Kibo Visuals muncul johan pertandingan filem pendek, CommFest: Nukilan Lentera Dari Lensa anjuran Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Komunikasi Korporat Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Sekumpulan pelajar semester tujuh dan lapan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Komunikasi Korporat Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) baru-baru ini telah menganjurkan program pertandingan filem pendek, CommFest: Nukilan Lentera Dari Lensa, Demi Malaysia bertujuan memupuk kreativiti dan semangat patriotik dalam kalangan pelajar.

Program ini melibatkan seramai 101 peserta yang terdiri daripada 12 pasukan, dengan enam pasukan bagi kategori terbuka dan enam pasukan bagi kategori sekolah.

Pengarah program itu Dayana Safiyya Zulhalmi berkata, CommFest: Nukilan Lentera merupakan sebuah program pertandingan filem pendek yang menggabungkan elemen komunikasi, kreativiti dan semangat patriotisme melalui medium penceritaan visual.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, pertandingan itu memberi peluang kepada peserta untuk mengasah bakat dan kreativiti dalam penghasilan filem pendek yang mengangkat nilai patriotisme, perpaduan, kepelbagaian budaya, warisan serta identiti Malaysia.

“Program ini turut diserikan dengan kehadiran Datuk Afdlin Shauki sebagai perasmi program dan tetamu kehormat.

“Selain itu, Sesi Perkongsian Industri turut diadakan bersama Azmi Jamsari sebagai fasilitator bagi sesi tersebut yang memberikan perkongsian berkaitan industri perfileman kepada peserta dan hadirin.

“Pertandingan ini dinilai oleh barisan juri yang terdiri daripada Muhammed Izzat Hasan, Prof. Madya Dr. Aminah Abd Rhapor, pelakon Vanidah Imran dan Taufiq Hanafi, manakala Faizal Ariff sebagai Ketua Juri,” katanya dalam kenyataan.

Dayana Safiyya berkata,, bagi kategori terbuka, pasukan Kibo Visuals telah dinobatkan sebagai johan, diikuti Attarfilmworks Production sebagai naib johan dan PSV Karsa di tempat ketiga.

Manakala bagi kategori sekolah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba muncul sebagai johan, diikuti SMK Sultan Abdul Samad Petaling Jaya di tempat kedua dan SMK Tengku Ampuan Jemaah di tempat ketiga.

“Kami berharap CommFest: Nukilan Lentera bukan sekadar sebuah pertandingan filem pendek, tetapi sebuah pentas yang memberi ruang kepada generasi muda untuk menyuarakan identiti, semangat dan cerita Malaysia melalui karya kreatif yang mampu meninggalkan impak kepada masyarakat,” kata Dayana Safiyya.

Katanya, program itu juga mendapat sokongan daripada Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Selain itu katanya, ia turut disokong oleh syarikat dan individu seperti HYGR Sdn. Bhd., Neatness Group Sdn. Bhd., Land Serve, Metadata Systems Sdn. Bhd., R2U Aircond & Renovation, M&S Everyday Fashion, KNK Industries, Thien Sheng Packing & Forwarding Sdn. Bhd., Tim’s Catering, KL Garage Sdn. Bhd., Mentari Beauty Resources, Aura Global Solution Enterprise, Sahadin & Co, Mid-City Language Center, MM Apparel, Rodin Creative Sdn. Bhd., Usrah Sinar Enterprise dan Majlis Bandaraya Daerah Klang.

Menurut  Dayana Safiyya, CommFest: Nukilan Lentera “Dari Lensa, Demi Malaysia” telah menjadi satu platform yang menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang untuk berkongsi idea, kreativiti dan perspektif melalui medium filem pendek.

“Penganjuran program ini juga memberi pengalaman kepada para pelajar dalam mengaplikasikan pengetahuan komunikasi serta kemahiran pengurusan acara dalam situasi sebenar.

“Program ini diharapkan dapat terus memberi ruang kepada generasi muda dan masyarakat untuk menghasilkan karya kreatif yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut membawa mesej berkaitan patriotisme, perpaduan, budaya dan identiti Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini