Bukan kuasa PM tentukan pendakwaan semula - Azalina

Bukan kuasa PM tentukan pendakwaan semula – Azalina

AZALINA OTHMAN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri tidak boleh menentukan seseorang dituduh semula kerana kuasa pendakwaan terletak pada Peguam Negara selaras Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan pendakwaan hendaklah dibuat berdasarkan pertimbangan undang-undang, fakta serta bukti bukannya tekanan atau kehendak politik.

Katanya, prinsip kedaulatan undang-undang mesti dipertahankan secara konsisten tanpa mengira kedudukan politik atau identiti mana-mana individu yang terlibat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perdana Menteri bukan Pendakwa Raya. Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa kepada Peguam Negara, yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan prosiding bagi sesuatu kesalahan, tertakluk kepada kerangka perlembagaan dan undang-undang yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azalina, prinsip kebebasan pendakwaan mesti dihormati dalam amalan politik dan bukan sekadar dalam cadangan perubahan institusi.

Beliau berkata, mana-mana pihak berhak mempersoalkan keputusan pendakwaan dan menuntut penjelasan yang munasabah, namun perbezaan keputusan antara kes tidak dengan sendirinya membuktikan berlakunya campur tangan politik atau layanan berat sebelah.

“Dalam kes ini, Jabatan Peguam Negara telah memberikan penjelasan mengenai alasan permohonan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) dan keputusan tiada tindakan lanjut (NFA).

“Kritikan terhadap sesuatu keputusan perlu disokong oleh fakta dan asas yang jelas, bukannya andaian atau tekanan politik semata-mata,” katanya.

Azalina berkata, UMNO turut mempertahankan prinsip kesamarataan di sisi undang-undang dan tiada sesiapa harus diberikan kekebalan daripada undang-undang hanya kerana jawatan atau kedudukan politik.

Pada masa sama katanya, mana-mana individu, termasuk pemimpin UMNO, berhak mendapat proses undang-undang yang adil dan tidak boleh dijadikan sasaran pendakwaan semata-mata untuk memenuhi tuntutan politik.

“Prinsip keadilan mesti terpakai kepada semua, sama ada pemimpin kerajaan, pembangkang atau rakyat biasa,” katanya.

Berhubung cabaran terhadap keputusan pendakwaan dalam kes Yayasan Akalbudi, beliau berkata Mahkamah Persekutuan telah membenarkan permohonan kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Badan Peguam Malaysia memulakan prosiding semakan kehakiman.

Katanya, prosiding berkaitan masih berjalan dan persoalan undang-undang yang dipertikaikan hendaklah diputuskan oleh mahkamah.

“Desakan politik supaya Perdana Menteri menentukan tindakan pendakwaan bukan pengganti kepada proses tersebut.

“UMNO menghormati hak mana-mana pihak untuk menggunakan saluran undang-undang yang tersedia dan pada masa yang sama menegaskan bahawa proses mahkamah mesti diberikan ruang untuk berjalan tanpa tekanan politik,” katanya.

Azalina berkata, kebebasan pendakwaan, akauntabiliti institusi dan kesamarataan di sisi undang-undang bukan prinsip yang boleh dipilih mengikut kepentingan politik.

“UMNO akan terus mempertahankan prinsip bahawa undang-undang mesti ditegakkan secara adil, proses kehakiman mesti dihormati dan keputusan pendakwaan tidak seharusnya ditentukan oleh desakan politik terhadap mana-mana individu,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini