PETALING JAYA: Ketua jurulatih Selangor FC (SFC), Kim Pan Gon tampil memohon maaf atas kekalahan anak buahnya pada aksi suku akhir kedua Piala FA ditangan Star City di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, kelmarin.
Kekalahan 2-3 di tangan Star City bagaimanapun, tidak menghalang Gergasi Merah meneruskan pemburuan gelaran keenam Piala FA apabila mara ke separuh akhir bertemu Kuching City menerusi agregat 6-4 selepas membelasah lawan 4-1 pada pertemuan pertama di gelanggang lawan.
Pan Gon mengakui Selangor sepatutnya mengelak kekalahan di hadapan penyokong sendiri, meskipun sudah memiliki kelebihan besar daripada aksi pertama.
Pengendali dari Korea Selatan itu berkata, perlawanan pertama selepas rehat antarabangsa sering menjadi cabaran buat pasukannya, namun beliau menggunakan kesempatan tersebut untuk menguji beberapa pemain di posisi berbeza.
“Selepas rehat bagi kalendar FIFA, perlawanan pertama bagi kami sentiasa sukar tetapi ia tetap permulaan yang baik. Pada babak kedua, saya melakukan perubahan bagi membuat eksperimen untuk melihat beberapa pemain dan memberi mereka peluang membuktikan kemampuan di posisi tertentu.
“Saya rasa bersalah dengan penyokong Selangor kerana di laman sendiri sepatutnya kita tidak boleh kalah. Kami akan bangkit lebih kuat dan perlu melakukan persiapan rapi untuk peringkat seterusnya,” katanya.
Pan Gon turut mengakui kegagalan menyudahkan peluang menjadi antara kelemahan yang perlu diperbaiki selepas Selangor mencipta beberapa kesempatan untuk menghasilkan jaringan tambahan.
“Kami mencipta banyak peluang. Sepatutnya kami mendahului tiga, empat atau lima gol, tetapi tidak dapat menjaringkan gol dan ini satu pengajaran yang berguna kepada kami,” ujarnya.
Selangor kini perlu mengalihkan perhatian kepada cabaran separuh akhir menentang Kuching City yang turut mengesahkan kemaraan selepas menyingkirkan Kelantan City FC dengan agregat 4-1.
Sementara itu, pengendali Star City, Mehmet Durakovic, menyifatkan kemenangan di gelanggang Selangor sebagai pencapaian membanggakan buat pasukannya walaupun keputusan itu tidak cukup untuk membawa mereka ke separuh akhir.
“Sangat cemerlang, kemenangan yang bagus walaupun kami tidak layak untuk mara ke peringkat seterusnya. Para pemain memberi 100 peratus daripada awal hingga wisel penamat.
“Untuk menang di sini bukan mudah. Saya rasa Selangor tidak pernah tewas di sini dalam tempoh yang lama, mungkin 15 atau 16 perlawanan. Kami pasukan baharu, tidak mempunyai ramai pemain dan skuad yang besar,” ujarnya. – UTUSAN











