PETALING JAYA: Pembeli rumah pertama berpeluang menikmati penjimatan duti setem melebihi RM15,500 menerusi langkah pelepasan duti setem yang diperluas dalam Belanjawan 2027, menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari.
Menurut beliau, antara perubahan utama yang diumumkan ialah peningkatan had harga hartanah yang layak menikmati pelepasan duti setem daripada RM500,000 kepada RM750,000, selain pelanjutan tempoh kemudahan itu sehingga 2030.
Katanya, langkah berkenaan dijangka membantu lebih ramai pembeli rumah pertama, khususnya dalam segmen perumahan mampu milik dan pasaran pertengahan.
“Nasihat saya kepada pembeli rumah pertama ialah menunggu sehingga Januari untuk menandatangani perjanjian jual beli sekiranya harga hartanah yang ingin dibeli adalah antara RM500,000 hingga RM750,000.
“Pembelian dalam julat harga itu berpotensi melayakkan mereka menikmati penjimatan duti setem melebihi RM15,500,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, anggaran penjimatan itu berdasarkan pembelian hartanah berharga RM750,000 dengan pembiayaan pinjaman sebanyak 90 peratus.
“Bagi hartanah bernilai sehingga RM500,000, pelepasan duti setem melibatkan instrumen pindah milik dan perjanjian pinjaman, manakala bagi hartanah sehingga RM750,000, pembeli yang layak dijangka menikmati pengurangan ketara jumlah duti setem yang perlu dibayar,” katanya.
Kashif berkata, bagi hartanah berharga RM750,000 dengan pinjaman 90 peratus, jumlah duti setem yang sepatutnya mencecah RM19,875 boleh dikurangkan kepada kira-kira RM4,300 sekiranya pembeli memenuhi syarat pelepasan berkenaan.
Beliau berkata, pelanjutan kemudahan itu juga memberi kepastian lebih panjang kepada pembeli memandangkan skim terdahulu dijadualkan tamat pada penghujung tahun depan.
“Selain pelepasan duti setem, peruntukan hampir RM1 bilion bagi sektor perumahan awam turut menjadi antara langkah utama Belanjawan 2027,” katanya.
Kashif berkata, dana itu berpotensi menyokong pembinaan hampir 13,000 rumah sekiranya keseluruhan peruntukan digunakan bagi program Rumah Mesra Rakyat, berdasarkan kos pembinaan yang dinyatakan dalam Belanjawan 2026.
“Rumah Mesra Rakyat menyediakan rumah bersubsidi tiga bilik berkeluasan 750 kaki persegi, lazimnya di kawasan luar bandar, untuk golongan yang sudah memiliki tanah.
“Bagaimanapun, peruntukan berkenaan turut merangkumi Program Residensi Rakyat (PRR), yang menyediakan perumahan awam kepada keluarga yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua program itu berperanan membantu golongan berpendapatan rendah mendapatkan kediaman pada kos lebih berpatutan.
Tambahnya, Belanjawan 2027 turut merangkumi empat projek perumahan baharu yang akan dibangunkan di Kulai, Johor; Nilai, Negeri Sembilan; Paya Rumput, Melaka; dan Lembah Pertang, Terengganu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) akan menyediakan jaminan pembiayaan perumahan sehingga RM20 bilion, yang berpotensi membantu sehingga 80,000 pembeli rumah pertama.
“Skim itu amat relevan kepada golongan bekerja sendiri dan individu tanpa pendapatan tetap yang berdepan kesukaran mendapatkan kelulusan pinjaman perumahan walaupun berkemampuan membayar ansuran.
“Jaminan pembiayaan itu dapat membantu memperluas akses kepada pemilikan rumah dalam kalangan pembeli yang menghadapi kekangan mendapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan,” katanya. – UTUSAN











