FFM35: 13 tahun saya tunggu untuk sampai sini - Azira Shafinaz - Utusan Malaysia

FFM35: 13 tahun saya tunggu untuk sampai sini – Azira Shafinaz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali pengumuman pencalonan Top 5 untuk anugerah sebesar Festival Filem Malaysia, pasti ada sahaja nama pengkarya atau filem yang menjadi persoalan. 

Kali ini, rata-rata peminat filem tempatan mempersoalkan mengapa June Lujong menerusi filem Polong gagal memboloskan diri ke peringkat lima terbaik kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik. Sara Ali dan Azira Shafinaz pula dianggap antara pencalonan yang patut digugurkan untuk menempatkan Jun Lujong.

Kejayaan Azira Shafinaz mahupun empat calon lain tersenarai dalam kategori tersebut untuk Festival Filem Malaysia (FFM) ke-35 dipilih oleh set barisan juri seramai tujuh orang yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dikelola Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebagai penganjur. 

Memuatkan artikel berkaitan…

Cumanya, wakil daripada set barisan juri yang membuat saringan tidak diperkenalkan dan sukar untuk kita mendapat justifikasi mengapa seseorang pelakon itu dipilih atau gagal tercalon dalam FFM35.

Bagaimanapun, calon pemenang seperti Azira Shafinaz tidak wajar diberikan beban untuk berasa seolah-olah namanya tidak layak berada di pencalonan. Kata Azira, 35, dia sendiri terkejut dan tidak menyangka dirinya boleh tercalon dalam kategori sengit itu menerusi lakonannya dalam Tarung.

“Saya juga tidak tahu bagaimana boleh berada di ‘Top 5’  sebab hari ini saya datang tanpa menjangkakan apa-apa. Hanya untuk beri sokongan namun terkejut apabila nampak nama sendiri dalam pencalonan, Alhamdulillah.

“Saya pun tidak pasti kenapa saya dipilih mungkin saya menepati ciri-ciri yang dicari pihak juri. Tapi Alhamdulillah, pencalonan saya untuk kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik sangat membuat terharu kerana inilah kali pertama saya dicalonkan di Festival Filem Malaysia.

“Saya mula berlakon pada 2012 dan mula aktif setahun selepas itu, jadi saya boleh katakan 13 tahun masa diambil untuk berada dalam industri.13 tahun juga saya tunggu untuk tercalon di FFM kerana inilah anugerah yang sudah lama saya impikan. Walaupun hanya tercalon, ini pun sudah satu penghargaan besar kerana impian untuk berada di FFM sudah sudah lama,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Mengulas makna pencalonan kali ini kepadanya secara peribadi, anggota kumpulan De Fam itu bersyukur kerana filem Tarung yang turut menjadi salah satu daripada enam karya tempatan yang memperoleh kutipan lebih RM10 juta boleh membawanya sejauh ini.

“Mungkin inilah yang dikatakan rezeki. Filem Tarung membawa saya ke sini tapi ini juga membalas penat lelah saya sepanjang berada dalam industri. 

“Keberadaan saya dalam dunia perfileman akhirnya ada yang nampak dan hargai. Alhamdulillah,” katanya.

Buat pertama kali dalam sejarah, FFM bakal menggunakan sistem penjurian baharu di peringkat akhir apabila 50 pemenang terdahulu akan memilih pemenang kali ini. Identiti juri pula dirahsiakan bagi memastikan proses pemilihan berjalan telus.

“Ini akan menjadi sengit tapi saya fikir itu adalah cara selayaknya untuk memilih pemenang iaitu datang daripada sekumpulan pengkarya yang bukan calang-calang. Mereka adalah pemenang daripada FFM pertama hingga ke 34. Penghargaan juga buat saya apabila pemenang sebelum ini bakal melihat dan menilai lakonan saya.

“Sebab itu macam saya katakan, kalau bukan rezeki bawa pulang kemenangan dicalonkan sahaja pun sudah cukup buat saya bangga. Saingan saya juga hebat-hebat seperti Zarra Zhaff, Sofia Jane, Sara Ali dan Pearly Chua.

“Jika ada rezeki, Alhamdulillah kerana saya tidak meletakkan harapan apa-apa,” katanya. 

Ditanya mengenali lima filem yang tercalon sebagai Filem Terbaik FFM35 kali ini, Azira mengakui ada kepelbagaian warna yang ditunjukkan sekali gus menjadika pemilihan menentukan Filem Terbaik malaysia kali ini jauh lebih rumit. 

 “Walaupun Tarung tidak tercalon dalam kategori itu, namun filem tercalon semuanya menarik dan mempunyai jalan cerita, bahasa dan genre berlainan. 

“Saya sendiri tidak sabar untuk melihat naskhah mana yang akan dipilih sebagai filem terbaik Malaysia cuma apa yang pasti, kelima-lima filem tersebut layak berada dalam kategori itu,” katanya.

Terdahulu, lima filem membolosi kategori utama Filem Terbaik iaitu Macai, Khadam, Mother Bhumi, Malam Terlarang dan Abah Saya Uncle Mike.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini