Jerebu: KPM tidak buat keputusan tutup sekolah secara bersendirian – Fadhlina

Jerebu: KPM tidak buat keputusan tutup sekolah secara bersendirian – Fadhlina

FADHLINA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menjelaskan pihaknya tidak membuat keputusan penutupan sekolah secara sendirian tetapi melalui jawatankuasa yang mempertimbangkan pandangan semua pihak berkaitan.

Menterinya, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, pihaknya telah mematuhi panduan dan pedoman yang ditetapkan sebelum sebarang keputusan dibuat.

Beliau berkata, keputusan dibuat setelah mendapat panduan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi, kita buat keputusan itu dalam jawatankuasa secara bersama setelah mempertimbangkan semua keadaan,” katanya ketika ditemui menyempurnakan PETAH KPM 2026 di sini hari ini.

Pada masa sama, katanya, sebarang keputusan penutupan sekolah juga perlu mengambil kira kesan terhadap pendidikan murid sekiranya tempoh penutupan berpanjangan.

Sehubungan itu, katanya, ibu bapa diminta mengikuti perkembangan dan pengumuman daripada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing berkaitan status operasi sekolah dan isu kesihatan murid.

“Kerajaan akan terus berpandukan SOP serta nasihat agensi berkaitan bagi memastikan tindakan yang diambil bersesuaian dengan keadaan semasa,” katanya.

Ditanya apakah SOP KPM jika situasi jerebu berterusan hingga akhir tahun, Fadhlina berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan jerebu semasa dan mendapatkan nasihat sebelum membuat keputusan berkaitan penutupan atau pembukaan sekolah.

“Keputusan itu akan dibuat dari semasa ke semasa berdasarkan prosedur operasi standard (SOP), garis panduan sedia ada dan penilaian keadaan semasa.

“NRES akan menilai keadaan berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), manakala KKM akan memberikan nasihat berkaitan aspek kesihatan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan semua sekolah di Johor serta sekolah di empat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Selangor dan Wilayah Persekutuan ditutup hari ini susulan situasi jerebu yang masih berterusan.

Sekolah di bawah empat PPD itu ialah kawasan Bangsar Pudu, Hulu Langat, Gombak dan Petaling Perdana.

Bagaimanapun sekolah di Melaka, Pulau Pinang, Putrajaya, Labuan, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak pula kekal beroperasi seperti biasa. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini