KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman satu dan selaraskan siasatan laporan ‘keldai akaun’.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sekitar 24 laporan berkaitan keldai akaun diterima daripada pelbagai negeri setakat ini mendakwa ia telah dieksploitasi.
“Seramai 15 orang mangsa hadir hari ini bersama-sama untuk menggesa pihak polis agar menyiasat laporan melibatkan keldai akaun ini. Mereka mendakwa telah diperdaya dan dieksploitasi sehingga akaun bank mereka digunakan dalam transaksi yang dikaitkan dengan aktiviti penipuan dan jenayah komersial.
“Kehadiran kami pada hari ini adalah untuk memohon agar kes-kes ini disiasat secara bersamaan dalam satu sisatan. Sehingga hari ini, sebanyak 24 laporan yang telah diterima mengaitkan kes penipuan terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di hadapan Bukit Aman, di sini hari ini.
Tambahnya, antara taktik yang digunakan scammer adalah dengan mengumpan mangsa membuat pinjaman, penerimaan gaji dan juga pendaftaran nombor telefon.
“Scammer tersebut akan menawarkan perkhidmatan pinjaman wang dan apabila mangsa telah mengisi semua maklumat lalu mereka gunakan maklumat tersebut untuk buat akaun bank berdaftar nama mangsa tanpa pengetahuan penama itu sendiri.
“Selain itu, ada yang ditawarkan pekerjaan dan diminta membuka akaun bank kononnya untuk menerima gaji. Selepas mangsa memberikan butiran, mereka dimaklumkan akaun tidak diluluskan, sedangkan akaun itu sebenarnya telah berjaya dibuka,” katanya.
Hishamuddin menggesa, dalang disebalik sindiket ini diambil tindakan tegas bagi memberi keadilan kepada mereka yang telah menjadi mangsa penipuan terbabit.
“Kami mahu tindakan tegas dikenakan terhadap scammer sebenar. Dalam masa sama individu yang mungkin telah diperdaya atau dieksploitasi tidak seharusnya terus menanggung kesan yang berat tanpa penilaian yang adil,” katanya. – UTUSAN











