RIYADH: Sejumlah jemaah umrah beragama Islam yang berpakaian ihram putih beratur untuk pemeriksaan dokumen di lapangan terbang antarabangsa Riyadh apabila satu letupan kuat menyebabkan serpihan siling runtuh menimpa mereka, menurut rakaman yang dikeluarkan pihak berkuasa Arab Saudi pada Isnin.
Petugas pintu masuk menyelamatkan diri dengan berlindung di bawah meja masing-masing, manakala penumpang bertempiaran menjauhi arah letupan, menurut rakaman kamera keselamatan yang disiarkan Kementerian Media Arab Saudi.
Rakaman dramatik itu menunjukkan detik serangan maut pada Sabtu yang mengorbankan 13 orang dan mencederakan ratusan yang lain.
Asap dan serpihan memenuhi rakaman itu sehingga hanya api yang kelihatan secara tiba-tiba, manakala beberapa individu yang kelihatan samar-samar seolah-olah terlalu terkejut untuk melarikan diri.
Kebanyakan penumpang dalam video yang dikeluarkan pihak berkuasa Arab Saudi itu kelihatan seperti jemaah yang dalam perjalanan ke Mekah untuk menunaikan umrah.
Musim puncak ibadah itu baru sahaja bermula ketika bahang musim panas di Arab Saudi mula reda.
Pihak berkuasa Arab Saudi memberi amaran mengenai kemungkinan tindakan undang-undang terhadap saksi yang mendedahkan maklumat mengenai serangan itu, selain mengehadkan akses media ke lokasi serangan bagi menghalang laporan bebas mengenainya.
Penyiaran rasmi rakaman serangan paling dahsyat di bumi Arab Saudi dalam tempoh sedekad itu merupakan perkembangan penting selepas kerajaan negara berkenaan selama beberapa minggu hanya memberikan sedikit maklumat kepada umum mengenai skala serangan Houthi.
Media prokerajaan, Saudi Gazette, berkata rakaman itu menonjolkan bahaya yang dihadapi penumpang tidak bersalah yang melakukan perjalanan khusus untuk beribadah.
Serangan Houthi sepanjang hujung minggu lalu, termasuk serangan kedua ke atas lapangan terbang Riyadh pada Ahad dan satu lagi serangan ke atas lapangan terbang Dammam, menandakan peningkatan ketara dalam perang di Yaman, yang menyaksikan Arab Saudi menyokong kerajaan yang diiktiraf masyarakat antarabangsa. – AFP











