PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperkenalkan pas MyKomuter50 pada kadar RM50 sebulan bagi pengguna perkhidmatan KTM Komuter sebagai langkah membantu mengurangkan kos hidup rakyat.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pas bulanan itu diperkenalkan khusus buat warganegara Malaysia yang menggunakan perkhidmatan KTM Komuter tanpa had selama 30 hari.
Beliau berkata, inisiatif itu disasar untuk dilaksanakan bermula seawal 1 Disember ini atau selewat-lewatnya 1 Januari 2027.
“Pengguna hanya perlu menggunakan MyKad untuk mendaftar dan mendapatkan pas berkenaan manakala mekanisme sistem pelaksanaannya sedang diperkemas oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
“Pengguna laluan jarak jauh berpotensi menikmati penjimatan ketara, termasuk sehingga RM366 sebulan bagi perjalanan dari Tanjung Malim ke Kuala Lumpur atau dari Padang Besar ke Butterworth dan Kulim,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu, Loke berkata, bantuan sebanyak RM1,000 kepada kira-kira 38,000 pemandu teksi dan kereta sewa serta 15,000 pemandu bas sekolah yang diumumkan pada Belanjawan 2027 lalu akan mula diagihkan secara berperingkat pada Rabu ini.
“Pengagihan awal akan melibatkan kumpulan pertama penerima yang bakal dijemput hadir ke Kementerian Pengangkutan bagi menerima baucar bantuan tersebut.
“Ada yang bertanya mengapa bantuan ini dapat diberikan walaupun bajet hanya dibentangkan, belum diluluskan?
“Saya nak menjelaskan apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu, hasilnya sudah masuk untuk tahun ini, iaitu penjualan nombor pendaftaran istimewa siri H yang menjana RM91.2 juta.
“Jadi itu kita kembalikan kepada pemandu teksi, kereta sewa dan juga bas sekolah secara berfasa.
“Bayaran ini kita komited untuk berikan dalam tempoh terdekat kepada pemandu beragama Hindu, sebelum perayaan Deepavali,” katanya. – UTUSAN








