PETALING JAYA: Pengarah dan pelakon, Namron, menyifatkan sokongan orang ramai terhadap isterinya yang juga pelakon, June Lojong walaupun tidak tersenarai dalam
senarai calon Top 5 Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-35 adalah lebih bermakna.
Namron berkata, anugerah bukanlah satu-satunya kayu ukur kejayaan seorang pelakon sebaliknya penghargaan yang diberikan peminat terhadap persembahan lakonan adalah jauh lebih penting.
“Walaupun tidak tercalon di FFM35, dia tetap menang di hati saya. Berdasarkan pengalaman saya, anugerah hanya diraikan sehari dua, selepas itu akan dilupakan. Apa yang lebih penting adalah peluang untuk pamerkan kraf dan ruang untuk berkarya.
“Di media sosial banyak juga yang mempersoalkan kenapa dia tidak dicalonkan. Tragedi Oktober, Daylight Robbery, Pemenang Di Hati Kami dan macam-macam lagi kenyataan yang keluar.
“Terima kasih kepada yang menghargai bakatnya. Sokongan anda semua sudah cukup bagi kami kerana itu adalah hadiah kemenangan tanpa bertanding,” tulisnya di Threads.
Dalam hantaran sama, Namron turut meraikan kejayaan rakan pelakon yang membolosi semua kategori yang dipertandingkan di FFM35 kali ini selain mengajak peminat untuk menghormati keputusan juri.
“Calon-calon dalam Top 5 pun bukan calang-calang hebatnya. Tahniah buat semua yang tercalon.
“Tolong hormati pemilihan dibuat oleh juri profesional. Mereka lebih arif untuk menentukan siapa yang layak,” katanya.
Terdahulu, ruangan media sosial dihujani komen warga maya yang tidak berpuas hati apabila June gagal membolosi kategori lima terbaik Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.
Antara pelakon yang membolosi kategori tersebut ialah Zarra Zhaff (Khadam), Sofia Jane (Malam Terlarang), Sara Ali (Libang Libu), Pearly Chua (Mother Bhumi) dan Azira Shafinaz (Tarung Unforgiven). -UTUSAN











