Tiada bukti Le Mediator seleweng dana - Finas - Utusan Malaysia

Tiada bukti Le Mediator seleweng dana – Finas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengesahkan tiada sebarang unsur penyelewengan dana dikesan setakat ini membabitkan syarikat Le Mediator Studio seperti yang tular di media sosial.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan memanggil kedua-dua belah pihak bagi memberi penjelasan susulan dakwaan yang dibangkitkan oleh sebuah akaun di platform Threads.

Bagaimanapun, setakat ini hanya satu pihak telah tampil memberikan keterangan, manakala satu lagi pihak masih belum hadir bertemu dengan penguat kuasa Finas.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami ada menerima laporan dan pihak penguat kuasa Finas telah menggerakkan siasatan dengan memanggil kedua-dua belah pihak. Bagaimanapun, buat masa ini hanya satu pihak telah tampil memberi penjelasan.

“Kita masih menunggu pihak satu lagi yang mungkin belum dapat hadir disebabkan faktor lokasi dan masa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Menara Finas, baru-baru ini.

Mengulas lanjut mengenai status dana yang diterima syarikat berkenaan, Azmir memperincikan bahawa naskhah awal yang dikaitkan dengan syarikat tersebut sebenarnya tidak menerima sebarang dana pembangunan atau produksi daripada Finas.

Jelasnya, syarikat itu hanya menerima dana pemasaran (marketing) yang mana jumlahnya adalah jauh lebih kecil berbanding dana penerbitan filem.

“Syarikat tersebut ada mengedar beberapa buah filem terutama yang dikategorikan sebagai bukan komersial.

“Bagi pihak Finas, kita maklum ada yang mempertikaikan mengapa kita mahu memberi dana kepada filem bukan komersial. Namun kami melihat kedua-dua kategori filem ini sama penting.

“Komersial kita lihat menerusi kutipan box office namun bukan komersial ada kepentingan kepada negara membantu penerbit bebas untuk membawa profil mereka ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azmir menegaskan bahawa dakwaan berlakunya ketirisan wang syarikat dilihat tidak berasas memandangkan setiap projek yang disalurkan dana telah pun disiapkan.

Tegasnya, kriteria utama penyelewengan biasanya diukur melalui kegagalan menyiapkan karya atau adanya aduan daripada pekerja produksi mengenai tunggakan gaji, namun perkara tersebut tidak berlaku dalam kes ini.

“Buat masa sekarang tiada unsur penyelewengan. Filem yang diberi dana memang siap dan tiada sebarang aduan diterima daripada pekerja produksi mengenai kelewatan atau kegagalan pembayaran upah.

“Bagaimanapun, Finas tidak akan menutup mata. Kita tetap menunggu laporan daripada satu lagi pihak untuk tampil mana tahu ada bukti lain supaya siasatan telus dapat dijalankan bagi memastikan setiap tuduhan itu mempunyai asas atau tidak,” katanya.

Terdahulu, kecoh apabila sebuah akaun di aplikasi Threads mendakwa syarikat produksi Le Mediator terlibat dengan salah guna dana selain dikatakan terbabit dengan amalan kronisme. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini