Penyelidik wajib lapor impak sebenar hasil kajian - Utusan Malaysia

Penyelidik wajib lapor impak sebenar hasil kajian

DR. ZAINAL Amin Ayub (dua dari kiri) pada sidang akhbar sempena BM Primat2026 di Pulau Orang Utan Bukit Merah di Bagan Serai hari ini. - UTUSAN/ WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Penyelidik perlu melaporkan impak sebenar hasil sesuatu kajian kepada masyarakat, industri dan negara bagi memastikan penyelidikan tidak terhenti setakat penerbitan akademik.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Prof. Dr. Zainal Amin Ayub berkata, penekanan terhadap manfaat penyelidikan telah diberikan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), manakala pelaporan impak menjadi kewajipan dalam pelaksanaan RMK13.

Menurut beliau, penilaian tidak hanya dilakukan ketika penyelidikan disiapkan, malah pemantauan diteruskan selepas kajian selesai bagi menilai kesannya kepada pihak berkepentingan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bukan hanya sekadar penerbitan, tetapi penyelidik perlu melaporkan impak daripada kajian yang telah dijalankan.

“Kita tidak hanya melihat impak akademik semata-mata seperti penerbitan dan bilangan graduan yang dilahirkan, tetapi juga impak sebenar kepada kerajaan, negara, komuniti dan pihak berkepentingan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Persidangan Antarabangsa Bukit Merah mengenai Primatologi, Penglibatan Komuniti dan Masa Depan Pemuliharaan (BM PRIMAT2026) di Pulau Orang Utan Bukit Merah, di sini hari ini.

Persidangan sulung yang berlangsung pada 12 hingga 13 Oktober di Bukit Merah Laketown Resort itu dianjurkan Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah (BMOUIF) bersama Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Universiti Sains Malaysia (USM), dengan M K Land Holdings Berhad sebagai rakan korporat dan Malaysian Palm Oil Green Conservation Foundation (MPOGCF) sebagai penaja utama.

Zainal Amin berkata, keperluan menunjukkan impak tersebut merangkumi pelbagai bidang penyelidikan, termasuk primatologi dan pemuliharaan hidupan liar.

Katanya, universiti turut menjalin kerjasama secara langsung dengan industri serta agensi berkaitan, termasuk zoo dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), dalam menjalankan penyelidikan berkaitan pemuliharaan.

BM PRIMAT2026 menghimpunkan 24 pembentang dan lebih 100 peserta dari Malaysia, Thailand, Indonesia serta Brunei, dengan penganjur merancang menjadikannya platform dua tahun sekali bagi memperkukuh perkongsian ilmu, penyelidikan dan kerjasama pemuliharaan primat di rantau ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini