Lebuh raya perlu lebih banyak papan digital

Lebuh raya perlu lebih banyak papan digital

PAPAN maklumat elektronik dapat membantu pengguna membuat keputusan lebih cepat dan selamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA mempunyai rangkaian lebuh raya bertol yang panjang dan bertaraf antarabangsa. Keadaan ini turut mendapat pujian warga asing dan pelancong yang menggunakan kemudahan lebuh raya serta pengangkutan awam seperti Transit Aliran Massa (MRT), Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), Monorel dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) manakala Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal melengkapkan lagi rangkaian tersebut.

Namun, kesesakan luar biasa di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) pada 1 September lalu, wajar dijadikan pengajaran. 

Kesesakan sepanjang kira-kira 35 kilometer (km) dari Plaza Tol Bentong hingga Plaza Tol Gombak menyebabkan sesetengah pengguna mengambil masa sehingga 10 jam. Kejadian berpunca daripada kemalangan selepas Terowong Genting Sempah menghala ke Kuala Lumpur.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pihak konsesi KLK bertindak menutup terowong arah Kuala Lumpur dan melencongkan kenderaan ke Jalan Lama Gombak-Bentong. Tindakan awal itu wajar, namun pengurusan lebuh raya masih boleh dipertingkatkan supaya pengguna mendapat maklumat lebih cepat.

Pertama, papan maklumat elektronik perlu ditambah di lokasi strategik, sekurang-kurangnya satu kilometer sebelum plaza tol masuk atau jalan keluar. Maklumat terkini mengenai kemalangan, kesesakan atau penutupan laluan membolehkan pengguna membuat keputusan sama ada meneruskan perjalanan, keluar di plaza tol terdekat atau menggunakan jalan alternatif.

Kedua, skrin televisyen yang memaparkan maklumat lebuh raya selama 24 jam wajar disediakan di setiap kawasan rehat dan rawat (R&R) dan hentian sebelah. Maklumat perlu tepat serta terkini, termasuk lokasi dan kilometer kejadian, supaya pengguna boleh memilih sama ada meneruskan perjalanan, berehat lebih lama atau menggunakan laluan lain.

Ketiga, papan elektronik dan skrin berkenaan perlu berfungsi sepanjang masa dengan kakitangan bertugas 24 jam, sama ada di bawah konsesi atau Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) secara berpusat.

Keempat, pihak konsesi tidak seharusnya melihat tindakan pengguna keluar melalui plaza tol terdekat sebagai semata-mata kehilangan kutipan. Keselesaan dan keselamatan pengguna perlu turut diberi perhatian.

Walaupun maklumat lebuh raya tersedia melalui aplikasi LLM, namun paparan elektronik secara langsung wajar diperkasakan, terutama di lebuh raya bertol yang menghubungkan bandar dan negeri seperti  Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) , KLK, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1)  dan LPT2.

 

TEROPONG DO RE MI
Setapak,

Kuala Lumpur

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini