MASYARAKAT Chetti merupakan antara kelompok unik di Malaysia yang asal usulnya berkait dengan Kesultanan Melayu Melaka.
Kewujudan masyarakat ini bermula daripada pedagang India dari Pantai Coromandel, kawasan pantai tenggara benua kecil India, yang berasimilasi melalui perkahwinan dengan masyarakat pribumi.
Namun, masih terdapat salah faham masyarakat Chetti sama seperti masyarakat India lain di Malaysia. Hakikatnya, mereka mempunyai keunikan tersendiri dari aspek budaya, adat, perayaan dan bahasa. Antara perbezaan paling ketara ialah penggunaan bahasa Melayu kreol yang menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat tersebut.
Dari sudut pakaian, masyarakat Chetti memperlihatkan gabungan unsur budaya India dan Melayu yang diwarisi urun-temurun.
Kaum lelaki lazimnya memakai baju panjang cekak musang bersama kain pelikat, manakala wanita mengenakan kebaya pendek atau panjang dengan kain batik. Pakaian ini berbeza daripada masyarakat India lain yang kebanyakannya memakai pakaian tradisional seperti jippa dan vesti bagi lelaki serta sari bagi wanita.
Pengaruh budaya Melayu turut dapat dilihat melalui makanan. Antaranya Pindang Ikan Parang yang menggunakan kunyit dan santan kelapa serta Pindang Udang Nanas, iaitu masakan berasaskan udang, nanas dan kari kunyit. Hidangan tersebut memperlihatkan bagaimana pertembungan budaya membentuk identiti masyarakat Chetti.
Dari sudut agama, masyarakat Chetti menganut agama Hindu (Saiva) dan berpegang teguh kepada ajaran serta pantang larang yang diwarisi. Mereka turut menyambut Ponggal dan Deepavali seperti masyarakat India di Malaysia.
Bagaimanapun, terdapat perayaan khusus yang membezakan masyarakat ini, antaranya Bhogi Parchu yang diraikan sehari sebelum Ponggal. Pada hari tersebut, satu upacara keagamaan diadakan bagi mengingati serta berterima kasih kepada nenek moyang.
Perayaan Ponggal masyarakat Chetti pula terbahagi kepada tiga, iaitu Thai Ponggal, Ponggal Lembu dan Ponggal Anak Dara. Selain itu, Perayaan Menggamay atau sembahyang Dato Chachar turut menjadi festival penting. Ia berlangsung sekitar akhir April atau awal Mei setiap tahun di Kuil Muthu Mariamman, Kampung Chetti.
Perayaan ini dimulakan dengan menaikkan tiang kapoo, diikuti poo karagam, Agni, kereta perarakan Dato Chachar dan anta rami.
Keunikan tersebut membuktikan masyarakat Chetti merupakan simbol pertembungan budaya antara pedagang India Selatan dengan masyarakat pribumi sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Kewujudan mereka yang hanya ditemui di Melaka turut memperlihatkan kepelbagaian budaya yang membentuk identiti Malaysia.
Warisan masyarakat Chetti juga penting sebagai bukti sejarah fizikal kedatangan pedagang India Selatan ke Melaka. Antaranya Kampung Ceti yang menjadi bukti kewujudan masyarakat tersebut serta Kuil Sri Kailashanathar Sivan yang memperlihatkan kepentingan agama dalam kehidupan mereka.
Oleh itu, warisan masyarakat Chetti perlu terus dikenali dan dikekalkan. Semua rakyat Malaysia perlu saling mengenali serta menghargai kepelbagaian budaya supaya warisan ini terus hidup dan dapat disampaikan kepada generasi akan datang. –UTUSAN
P. SARAN
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah,
Universiti Utara Malaysia (UUM)











